SEJAK memegang teraju kepimpinan Malaysia, Anwar Ibrahim memulakan gerak diplomatiknya dengan memilih Indonesia sebagai negara pertama dikunjunginya di rantau ini.
Diplomasi tidak hanya menyangkut perhubungan antara negara mahupun organisasi antarabangsa malah mencakupi interaksi dan peranan individu yang berpengaruh untuk menghasilkan kerjasama strategik dua negara dalam pelbagai bidang.
Hubungan Putrajaya-Jakarta merupakan pentas untuk Anwar sebagai ketua kerajaan mengukuhkan kepentingan bilateral.
Dengan andaian jaringan dan liputan yang dimilikinya akan dapat meningkatkan faedah langsung kepada negara khususnya dalam menangani isu pekerjaan, tenaga buruh dan migrasi.
Anwar merupakan tokoh politik kontroversi dari Malaysia yang diberikan pengiktirafan, penghormatan dan liputan media yang meluas di republik itu, antaranya majalah Tempo yang suatu ketika dulu cenderung menyiarkan artikel berkenaan Anwar.
Sebenarnya tulisan ini penulis ingin membicarakan rangkaian yang dimiliki Anwar dengan tokoh-tokoh masyarakat Indonesia yang selama ini memberi kesan signifikan hubungan kedua negara.
Bagi penulis, pengukuhan kerjasama Malaysia-Indonesia bukan setakat dilandasi oleh sejarah dasar luarnya, kemiripan budaya, bahasa, ikatan kekeluargaan dan agama, bahkan faktor Anwar yang begitu sentimental kerana keterdekatannya dengan pelbagai lingkungan berpengaruh di Indonesia boleh diimbas melalui pengalamannya di pelbagai tingkat.
Bermula dari tingkat Presiden, Naib Presiden, Menteri, Ahli Majlis Permesyuaratan Rakyat, tokoh perniagaan, aktivis politik dan cendiakawan kebanyakannya – jaringan yang dipertauti ini membayangkan Anwar dapat membina ‘diplomasi di landasan kedua’.
Pengalaman Anwar (sebagai aktor bukan negara) bersama Indonesia antara unsur yang mengukuhi ikatan dan kerapatan kedua negara.
Sentuhan sentimental
Ketika menjadi ‘tetamu istimewa’ kepada Presiden Joko Widodo, Anwar menggangap Indonesia merupakan ‘sahabat sejati’ dan sering bersamanya ketika beliau tersisish sebelum dilantik sebagai perdana menteri selepas memimpin pasukan pembangkang selama lebih dua dekad.
Keterdekatan Anwar dengan Indonesia bermula sejak penghujung 1960-an lagi ketika Anwar bergelar aktivis pelajar Universiti Malaya.
Perkenalan dan perhubungannya dengan intelektual Muslim Nurcholish Madjid umpamanya banyak membuka sudut pandang Islam yang lebih moderat – khususnya dalam pergerakan Islam ABIM.
Pemikir kemanusiaan Indonesia antara yang kuat mempengaruhi pandangan Anwar, antaranya Soedjatmoko.
Buku The Asian Renaissance yang dikarang oleh Anwar antaranya mengandungi tema ‘ekonomi manusiawi’ dan istilah tersebut sehingga kini sering dijadikan petikan popular ketika Anwar menyampaikan ucapan di mana-mana tempat.
Anwar turut bersentuhan dengan cendiakawan Islam atau pakar dasar luar Indonesia, Dewi Fortuna Anwar yang juga bekas Penasihat Presiden BJ Habibie. Sahabat Anwar ini sanggup ‘meredah lautan’ untuk membawa Anwar berucap di Jakarta atau tempat-tempat lain.
Syarahan yang mungkin membekas pada ingatan Anwar ialah Festival Istiqlal yang berlangsung di Jakarta pada 1995.
Anwar mempopularkan istilah masyarakat madani yang menjadi polemik dunia intelektual di Indonesia.
Anwar mengakui dirinya agak sentimental apabila berbicara tentang Indonesia. Ibunya juga dikatakan meminati karya Hamka, selain karya pemikir Sutan Takdir Alisjahbana yang pernah bertugas di Universiti Malaya.
Tidak hairanlah Anwar selepas sahaja dibebaskan dari penjara memberitahu “Indonesia bukan sekadar negara jiran, tetapi negara yang banyak saya mendapat ilmu dan pengalaman.”
Selain sudut keilmuan, Anwar berkongsi sejarah perjuangan yang mungkin tidak akan luput di ingatan setiap generasi Malaysia-Indonesia.
Gerakan Reformasi berlaku hampir dalam tempoh serentak antara dua buah negara, di samping istilah ‘Reformasi’ dipinjam dan diambil inspirasinya dari Indonesia.
Kegagalan Reformasi telah dipersoalkan kerana tindakan mengimport unsur luar yang bertentangan dengan norma kehidupan politik menurut pengkirtik.
Jangkaan dan ramalan bahawa Reformasi yang dicetuskan itu akan menjadikan Malaysia sebagai ‘satu lagi Indonesia’ tidak menjadi kenyataan.
Apabila Anwar dipenjarakan, WS Rendra yang merupakan penyair terkemuka Indonesia mendedikasikan sajak ‘Rajawali’ buat Anwar.
Pengkagum Anwar di Indonesia pernah memujuknya tidak pulang ke Malaysia ketika Anwar menunggu keputusan perbicaraan Mahkamah Persekutuan pada 2015. Seakan-akan membayangkan mereka bersolidariti dengan mengatakan “sekiranya Malaysia tidak mahu Anwar, serahkan sahaja Anwar kepada kami di Indonesia.”
Hampir setiap jalur politik di Indonesia memiliki perhubungan yang baik dengan Anwar. Nama seperti Amien Rais (mantan Ketua Pergerakan Muhammadiyah), Chairul Tanjung (mantan menteri ekonomi), Adnan Buyong Nasution (aktivis masyarakat) dan Adi Sasono (mantan menteri koperasi) antara yang menunjukkan sikap setiakawan, hormat dan kasih sepanjang pengalaman pasang surut Anwar.
Lebih-lebih lagi dua bekas Presiden Indonesia Pasca Orde Baru iaitu Habibie dan Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali Gus Dur dianggap ‘sahabat sejati’ yang sering menyalurkan rasa simpati, sokongan dan berdampingan rapat ketika waktu kritikal.
Semasa Anwar menerima rawatan di Jerman, Habibie banyak menaikkan motivasi dan semangat beliau, tidak kurang Gus Dur beberapa kali mengunjungi Anwar di kediamannya dan memberikan sokongan solidariti untuk kemenangan pilihan raya bagi kerusi Permatang Pauh.
Beberapa peristiwa yang dicatatkan di atas bagi penulis adalah detik-detik bermakna yang menggambarkan sejarah hubungan Malaysia-Indonesia (konteks Anwar) dalam situasi istimewa – ‘boleh bercakap dan bercanda dalam suasana keluarga’ yang mungkin tidak ada pada hubungan Malaysia dengan negara lain. – 13 Januari, 2023.
* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.
Komen