Pembangkang tawar pengajian universiti percuma untuk saingi TN50


Sheridan Mahavera

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Tawaran Anak Muda akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi bersama-sama manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2017.

TAWARAN Anak Muda akan menjadi polisi Pakatan Harapan (PH) untuk menarik golongan muda apatah lagi ia diharap mampu mengatasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) milik Barisan Nasional (BN) yang menjadi gelombang di kalangan pengundi penting ini.

“Tawaran” akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi bersama-sama manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Kabinet kerajaan Selangor itu berkata set konkrit cadangan polisinya lebih hebat berbanding “kemilau” TN50.

“Tawaran” akan termasuk cadangan dasar seperti pendidikan percuma untuk semua dan perubahan kepada dasar perumahan bagi menjadikan ia lebih mudah kepada golongan muda untuk memiliki rumah.

“Sebagai contoh, TN50 berkata golongan belia mahu Bangsa Malaysia menjadi kenyataan pada 2050. Tetapi dalam Pakatan kami menawarkan Bangsa Malaysia sekarang, dalam 2017 atau 2018 jika anda mengundi kami untuk memerintah.

“Bagi kami, tiada keperluan menunggu sehingga 2050 untuk melihat Bangsa Malaysia direalisasikan kerana kami akan melakukannya sekarang jika dipilih, bersama pendidikan, perumahan dan pekerjaan yang lebih baik.

Katanya, rakyat akan menerima kekuatan yang dimiliki “tawaran” walaupun ia mungkin tidak kelihatan sehebat TN50 serta mendapati ia lebih baik.

Nik Nazmi berkata tawaran juga memasukkan usul untuk menjadikannya lebih berkemampuan bagi peminat bola sepak menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris dan Sepanyol La Liga.

“Manifesto biasa mempunyai dasar pendidikan, pekerjaan dan perumahan jadi kami akan mengambil komponen belia dan menjadikan ia pakej dalam ‘tawaran’ untuk diberi kepada Pemuda PH,” kata Nik Nazmi dalam satu temubual dengan The Malaysian Insight.

Beliau berkata dasar semasa pentadbiran Najib yang disasarkan kepada belia seperti PR1MA tidak mampu mencapai sasaran untuk membantu golongan muda memiliki rumah sendiri.

“Banyak permohonan PR1MA ditolak kerana golongan muda yang memohon tidak layak disebabkan tidak dapat memenuhi obligasi PTPTN mereka,” katanya, merujuk kepada skim pinjaman pengajian tinggi negara.

Senarai akhir dasar sedang diusahakan kesemua  pemimpin belia dalam empat parti PH – PKR, DAP, Amanah dan Bersatu – bersama jawatankuasa yang bertanggungjawab bagi manifesto gabungan itu.

Nik Nazmi mengendalikan portfolio pendidikan, sains, teknologi dan inovasi dalam kerajaan PH di Selangor.

Sebagai salah seorang ketua Pemuda daripada empat parti, beliau ditugaskan mengumpul sokongan kumpulan pengundi di bawah umur 40 dan pengundi kali pertama yang boleh membentuk satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pengundi pada PRU14.

“Tawaran” muncul beberapa bulan selepas BN memulakan inisiatif TN50 yang ditujukan kepada golongan muda untuk mendapatkan idea mereka mengenai dasar yang diingini dalam tiga dekad akan datang selepas 2020.

TN50 menyaksikan sesi dialog diadakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin penuh sesak dengan golongan muda di seluruh negara.

Pengkritik, bagaimanapun mendakwa TN50 adalah satu cara bagi pentadbiran Najib menyimpang beransur-ansur daripada dasar Wawasan 2020 yang dimulakan bekas perdana menteri yang kini menjadi pemimpin pembangkang PH, Dr Mahathir Mohamad.

Terdapat kemungkinan insiastif yang diambil PH dan pergerakan pemudanya untuk menyaingi TN50 agak ketinggalan memandangkan pilihan raya umum yang dispekulasikan akan berlaku tidak lama lagi.

Nik Nazmi mengakui TN50 mempunyai kuasa tarikan tetapi berhujah ia lebih kepada aspek kejayaan perhubungan awam tanpa kemampuannya sendiri. – 3 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • setakat tawar pengajian percuma ke? bukan semua rakyat perlukan tawaran seperti itu. buatlah perkara yang lebih baik daripada tu

    Dimuat naik 9 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan