PAS masih belum selesa untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah walaupun berjaya menguasai kerusi Parlimen di negeri itu dalam PRU15, kata penganalisis.
Selain itu, pertumbuhan ekonominya juga dilihat masih perlahan biarpun menteri besarnya Muhammad Sanusi Md Nor umum Kedah terima pelaburan berbilion ringgit.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, masa depan projek berimpak tinggi yang sepatutnya mencetuskan pembangunan itu masih menjadi tanda tanya kerana tiada ketelusan.
Pembangunannya antara lain diamati Persatuan Pengguna Kedah (Cake) yang melihat ekonomi negeri itu masih belum pulih dari kesan buruk pandemik Covid-19.
Presiden Cake Mohamad Yusrizal Yusoff juga menjangka Kedah akan berdepan kesulitan mendapatkan bantuan dari kerajaan kerana negeri itu dikawal pembangkang PAS.
“Kita tahu Kedah ini negeri kedua termiskin di Malaysia dan keadaan ekonomi lepas pandemik sebenarnya amat merosot. Tidak seperti negeri lain, Kedah memang antara yang terjejas teruk.
“Lepas pembukaan sekatan, nampak Kedah akan bangkit balik tapi masih sukar. Kita tengok peniaga kecil, petani atau pengeluar ini terjejas… Mereka dalam fasa yang sukar sebenarnya.
“Mereka ini memang golongan yang sangat perlukan bantuan daripada kerajaan,” katanya yang menganggarkan majoriti dari golongan B40 yang berpendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000.
Oleh itu, Mohamad Yusrizal menilaikan bahawa mutu pentadbiran PAS masih tidak begitu baik.
“Sebab itu saya kata pentadbiran PAS di Kedah ini sebenarnya kita tak boleh nak simpulkan terlalu teruk tapi ia tidaklah bagus sebab pertumbuhan ekonomi sangat perlahan.
“Biarpun diumum macam-macam pelaburan dan keuntungan, namun tempiasnya tidak kena kepada rakyat,” katanya ketika mengulas prestasi kerajaan negeri.

Beliau memberi contoh bandar teknologi menempatkan puluhan kilang dan syarikat antarabangsa di Kulim yang tidak memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.
“Kita tak nampak pun apa manfaat kepada penduduk tempatan. Sebab ekonomi rakyat tempatan masih sama, iaitu di tahap rendah dan peluang kerja pun masih rendah.
“Bukannya rakyat tempatan senang jadi cari kerja. Sebab itu (kita kata kerajaan negeri umum projek berbilion ringgit tapi tempiasnya tidak dirasai tempatan.
“Biasanya akan ada pembangunan secara tidak langsung maksudnya akan ada banyak kedai makan, kedai dobi tapi tak nampak. Kulim masih sama,”
Bekas calon GTA bagi kerusi Kulim itu merujuk pengumuman Menteri Besar Sanusi Md Nor mengenai pelaburan bernilai RM9.7 bilion dibawa masuk selepas pandemik Covid-19 reda.
Sanusi juga dalam ucapan tahun baharunya juga menyeru rakyat berjimat cermat dalam perbelanjaan kerana jangkaan cabaran situasi ekonomi yang lebih getir pada tahun ini.
Beliau mengaitkan cabaran itu dengan keputusan kerajaan menaikkan tarif elektrik yang akan meningkatkan kos operasi sektor swasta sebanyak 40%.
Sanusi juga mendakwa projek mega Kedah, Aetropolis yang terpaksa dibangunkan dengan dana swasta kerana tidak mendapat sokongan kerajaan persekutuan.
Projek berkenaan yang antara lain melibatkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) perlu mendapat sokongan kerajaan persekutuan.
Sanusi dilaporkan berkata, beliau akan berjumpa dengan perdana menteri Anwar Ibrahim bagi menjelaskan kekeliruan itu.
Mengulas perkembangan itu, Mohd Yusrizal berkata keputusan kerajaan negeri melibatkan pelaburan dari syarikat swasta ada kekurangan walau tidak menggunakan duit rakyat.
“Biasanya kalau jenis perjanjian konsortium ia melibatkan tempoh 20 hingga 30 tahun. Sebab itu kena ada perjanjian yang kerajaan tetap boleh dapat keuntungan daripada pelaksanaan projek ini.
“Kekurangannya kerajaan akan terikat. Kalau syarikat tempatan masih OK, tapi kalau syarikat asing kita takut tanah negeri boleh tergadai atau hilang apa-apa hak,” katanya.

Justeru, penting bagi kerajaan negeri mendedahkan butiran perjanjian lebih terperinci kepada umum sebagai langkah memastikan proses lebih telus.
Penganalisis Hisomuddin Bakar pula melihat, menteri besar mengumumkan jumlah RM9.7 bilion itu hanyalah usaha untuk menonjolkan kemampuan pentadbirannya menarik pelaburan besar.
Tambahan pula, pilihan raya negeri akan berlangsung pada tahun ini, kata pengarah eksekutif badan kajian Ilham Center itu.
“Sudah tentu apabila menjelang PRN negeri ini beliau nak tunjuk kepemimpinannya lebih ke depan dan menyakinkan pelabur melabur di Kedah.
“Biarpun angka projek itu sebenarnya masih belum jelas di peringkat mana. Adakah ia sudah dipersetujui atau hanya baru nak tahu tunjuk minat ataupun sudah ada memorandum persefahaman (MOU).
“Secara umumnya pengumuman menteri besar ini hanyalah untuk menunjuk sahaja untuk membuktikan yang beliau mempunyai kepimpinan yang kuat boleh mendapatkan pelabur masuk di Kedah. Dan sudah tentu ia ada kaitan dengan PRN,” katanya.
Mengulas peluang PAS mengekalkan kerajaannya, Hisomuddin berkata pencapaian terbaik parti Islam itu pada PRU15 memberi keyakinan luar biasa kepada PAS di Kedah menghadapi PRN.
Pada masa sama beliau mengingatkan PAS tidak boleh terlalu selesa kerana mungkin akan berdepan dengan cabaran tentangan sinergi daripada BN dan PH.
“Bagi saya PN perlu ambil perhatian sinergi ini antara BN dan PH kerana ia masih belum teruji pemetaan baharu ini.
“Sinergi ini masih belum dapat diukur maka bagi PN mereka perlu lihat dua gabungan yang boleh beri cabaran,” katanya. – 12 Januari, 2023.
Komen