BEIJING hari ini berkata negara itu membatalkan pengeluaran visa baharu kepada warga Korea Selatan dan Jepun selepas kedua-dua negara itu melaksanakan sekatan perjalanan ke atas pelawat dari China.
Korea Selatan dan Jepun dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenakan syarat perjalanan baharu kepada semua pelawat dari China, ketika negara paling ramai penduduk di dunia itu berdepan lonjakan kes Covid.
China yang menyifatkan sekatan yang dilaksanakan kedua-dua negara itu “tidak boleh diterima” menamatkan visa jangka pendek untuk semua warga Korea Selatan dan Jepun semalam.
Pihak berkuasa imigresen menguatkuasakan larangan itu “sebagai tindak balas terhadap sekatan kemasukan diskriminasi baru-baru ini yang dikenakan oleh beberapa negara ke atas warga China.
“Pihak berkuasa imigresen berkuat kuasa serta-merta menggantung pengeluaran visa untuk warga Korea dan Jepun dan polisi transit bebas visa 72/144 jam untuk warga Korea Selatan dan Jepun,” kata Pentadbiran Imigresen Nasional China dalam satu kenyataan.
Pengembara dari banyak negara layak mendapat transit tanpa visa 72 jam melalui China jika mereka boleh menunjukkan bukti perjalanan yang belum selesai ke negara ketiga dengan sesetengahnya layak untuk tinggal 144 jam di bandar dan wilayah tertentu.
Tokyo hari ini membantah keputusan China membatalkan visa jangka pendek untuk warganya dan menggesa Beijing membatalkan keputusan itu. – AFP, 11 Januari 2023.
Komen