Apa dia rumah hijau?


Hishamuddin Rais

SATU masa yang agak lama dulu saya pernah terbaca berita Tunku Abdul Rahman berkata: Di Malaysia ini kalau semua warga jadi penganut agama Islam maka baru kita bersatu.

Satu masa yang tidak berapa lama dulu saya ada melihat klip video YouTube di mana bekas presiden Amerika Syarikat Ronald Reagan berkata: Umat manusia ini akan bersatu jika dunia kita diserang oleh makhluk asing dari luar bumi.

Ketika ini Hishamuddin Rais berkata: Kita tak perlu menganut satu agama untuk bersatu. Kita juga tidak perlu menunggu makhluk asing datang menyerang baru kita bersatu.

Kita perlu bersatu sekarang bukan kerana agama. Kita perlu bersatu sekarang kerana yang datang ini lebih pantas daripada halilintar membelah bumi. Kita perlu bersatu bukan kerana serangan makhluk asing dari Jupiter atau Marikh.

Kita semua – umat bumi – anak semua bangsa dan bangsa semua agama – kita wajib sedar bumi kita sedang diserang oleh malapetaka cuaca.

Kita hanya ada satu bumi. Musnah bumi ini kita tak ada tempat lain untuk hidup bernafas.

Dunia kita sedang berdepan dengan krisis iklim. Dunia makin panas hasil dari dampak rumah hijau.

Apa dia rumah hijau ?

Kita yang duduk di Malaysia sebuah negara bumi tropika di mana cahaya matahari dari Tuhan ada sepanjang tahun. Tuhan memberi rahmat kepada kita dengan tenaga sinarnya.

Di Eropah – kalau kita ke Belanda dan melintas kampung orang Belanda maka kita akan ternampak banyak rumah hijau. Pak tani Belanda bercucuk tanam dalam rumah hijau.

Rumah hijau beratapkan plastik. Rumah ini ada yang berpintu dan berdinding dan banyak pula yang hanya ada atap tanpa dinding – terbuka lapang.

Rumah hijau pak tani ini akan memerangkap cahaya anugerah Tuhan membantu tanaman untuk tumbuh cepat dan segar.

Semasa kita di sekolah rendah ada cikgu mengajar kita jika ada air, ada udara dan ada panas maka biji jagung akan tumbuh. Untuk membuktikan perkara ini kita diberi sebutir biji jagung, satu balang test tube dan kapas.

Kapas dimasuk ke dalam balang kemudian kita masukkan biji jagung. Kapas dibasahkan dengan titisan air. Empat hari kemudian jagung bercambah. 

Ilmu pengetahuan ini sebenarnya adalah asas konsep rumah hijau. Dari awal lagi kita telah diberitahu tentang rumah hijau. Balang test tube itulah rumah hijau.

Ketika itu kita tidak tahu pun apa itu rumah hijau. Malah perkataan rumah hijau amat jarang didengar.

Bumi kita pun dalam rumah hijau yang wujud semula jadi. Rumah hijau bumi bukan macam rumah hijau di Belanda yang nampak dilihat. Rumah hijau bumi halimunan.

Asal muasal bumi kita ini dengan ledakan Big Bang – kun fa yakun – bermula 13.8 bilion tahun dahulu. Dari ledakan Big Bang ini debu-debu dan habuk atom telah berkumpul, berkisar dan membulat hingga terwujudnya planet Bumi yang kita kenali sebagai bumi.

Umur planet bumi ialah 4.543 bilion tahun. 

Bumi kita ini cukup unik. Ada berbilion bintang dan planet dalam alam ini tapi setakat tahun 2023 ini hanya bumi kita ini yang diketahui ada wujudnya umat manusia.

Para saintis mentakrifkan bumi kita ini sebagai planet Goldilocks. Perkataan Goldilocks ini sering kita dengar. Biar saya beri pencerahan.

Goldilocks adalah nama watak budak perempuan dalam kisah Tiga Ekor Beruang. Ada Pak Beruang, Mak Beruang dan Anak Beruang.  

Mereka mahu makan bubur yang baru dimasak oleh Mak Beruang. Bubur mereka masih panas. Lalu tiga ekor beruang ini keluar bersiar-siar sementara menunggu bubur sejuk.

Mencuri masuk anak gadis bernama Goldilocks. Dia mencuba bubur mangkuk Pak Beruang – masih terlalu panas. Goldilocks menyudu bubur Mak Beruang yang juga masih panas.

Kemudian Goldilocks menyudu bubur dalam mangkuk kecil milik Anak Beruang. Bubur Anak Beruang ini tidak panas dan tidak sejuk. Cukup enak untuk dinikmati.

Maka dari ini lahir konsep planet bumi dan Goldilocks. Sama seperti suhu bubur Anak Beruang yang dinikmati oleh Goldilocks. Nama Goldilocks diambil sebagai metafora planet bumi ini yang tidak panas dan tidak sejuk.

Planet bumi memiliki suhu yang tepat dan amat sesuai  untuk mewujudkan kehidupan makhluk dan tumbuhan.

Bumi tidak panas seperti suhu planet Mercury 167°C atau Venus 464°C. Suhu bumi ialah 15 C atau 59°F – cukup Goldilocks. Amin.

Bumi kita ini dipayungi oleh rumah hijau. Jika kita mendongak ke langit kita tidak nampak rumah hijau ini. Rumah hijau bumi bukan plastik seperti rumah hijau pak tani Belanda. Rumah hijau bumi adalah gas yang halimunan.

Bumi kita ini diliputi atau diselubungi oleh gas karbon dioksida, metana, nitrus oksida dan wap air. Suhu wap air ini berubah-ubah mengikut suhu pancaran sinar matahari.

Bumi kita beredar mengelilingi matahari. Arah senget bumi, jarak jauh dan dekat bumi dari matahari akan menimbulkan musim sejuk, musim bunga, musim luruh dan musim panas.

Para saintis telah menemui fakta bahawa pemanasan karbon dioksida memberi kesan kepada kestabilan atmosfera bumi. Jika dilupuskan karbon dioksida kesan rumah hijau di bumi akan hilang. Tanpa karbon dioksida suhu bumi akan jadi 33°C sejuk.

Karbon dioksida ini diperlukan sama seperti gas yang lain.

Justeru adunan antara semua gas dan wap air ini telah menjadikan planet bumi bersifat Goldilocks. Semuanya seimbang – semua teratur – semua memainkan peranan.

Bumi kita ini berjalan indah permai walaupun sesekali ledakan gunung berapi tapi tidak mengancam cuaca keseluruhan. Hakikatnya aman damai.

Semuanya mula berubah dengan bermula Revolusi Industri Pertama. Pada tahun 1776 apabila pereka dan jurutera dari Scotland, James Watt (1938 -1819) membuat enjin wap.

Kuasa wap dari air yang dibakar arang batu. Kuasa wap yang menggerakkan enjin ini  mengubah bukan hanya kehidupan manusia malah mengubah bumi umat manusia.

Dunia diubah dengan pembakaran tenaga bahan api fosil. Apa dia bahan bakar fosil?

Bahan fosil tersimpan berjuta-juta tahun dalam perut bumi. Fosil ini adalah plankton dan tumbuhan yang mati terkambus dalam bumi berjuta tahun dahulu.

Plankton menjadi gas dan minyak. Tumbuhan menjadi arang batu. Ini asal usul bahan bakar fosil.

Bila kita terbaca perkataan ‘fossil fuels’ maka kita fahami ini adalah arang batu, gas dan minyak petrol.

Dunia moden yang kita temui pada tahun 2023 ini adalah hasil pembakaran tenaga fosil. Kita membakar arang batu, kita membakar gas dan kita membakar minyak petrol untuk menjalani hidup moden.

Ramai tidak sedar bahawa hidup moden kita hari ini bersandarkan bahan bakar fosil. Membakar ertinya memanaskan.

Satu ketika dulu kita pakai dapur kayu. Kita bakar kayu untuk masak nasi, jerang air atau merebus telur.

Kemudian kita padamkan api yang membakar kayu itu. Dapur kita kembali sejuk seperti sediakala.

Awas! Proses kita membakar kayu kita boleh nampak api dan asap. Tapi ada lagi perkara halimun telah berlaku. Ada proses yang tidak kita lihat. Ada perkara halus telah terjadi.

Ada gas yang keluar dari proses pembakaran itu. Gas yang keluar ialah karbon monoksida yang bergumpal sama dalam asap.

Tapi memasak nasi ini bukan pembawa masalah. Ini hanya contoh pembakaran.

Apa akan terjadi apabila minyak petrol dibakar dalam enjin kereta. Akan ada wap yang bercampur dengan gas karbon monoksida, nitrogen oksida, asap dan debu. Ini yang membawa pencemaran udara.

Membakar minyak petrol dan arang batu juga mewujudkan karbon dioksida. Karbon dioksida  inilah yang membawa pemanas rumah hijau bumi.

Bukankah karbon dioksida ini diperlukan untuk keseimbangan rumah hijau planet bumi?

Betul. Gas karbon jenis ini diperlukan. Tetapi ada had dan jumlahnya. Ada jumlah dan keseimbangan yang diperlukan. Bukan kurang dan bukan berlebihan.

Jangan risau masalah pemanasan rumah hijau planet bumi ini bukan akibat dari Mak Cik Kiah memasak nasi pakai dapur gas di Jengka. Bukan kerana Awang Pijoi membakar lemang pakai arang di Jelebu.

Masalah pemanasan ini telah berlaku semenjak 1750 – Revolusi Industri Pertama ratusan tahun dahulu. Arang batu, minyak, dan gas telah dibakar. Semua pembakaran ini mengeluarkan karbon dioksida.

Asas hidup moden hari ini ialah pembakaran tenaga fosil. Usik apa sahaja dalam dunia moden hari ini maka kita akan bertemu dengan pembakaran tenaga fosil.

Api elektrik yang kita gunakan hasil dari arang batu dan minyak telah dibakar di loji janakuasa. 

Kereta, bas, lori dan motosikal yang bergerak di jalan raya semuanya adalah pembakaran tenaga fosil.

Pembakaran fosil ini bukan hanya berlaku di Kuala Lumpur, Alor Setar, atau di London, New York, New Delhi atau Shanghai – tidak – pembakaran ini berlaku di seluruh dunia.

Satu dunia ini – kita bersama-sama – senang membakar fosil. Ini maknanya warga seluruh dunia – umat manusia seluruh dunia bertanggungjawab membawa  pemanasan rumah hijau planet bumi.

Tidak cukup ini dengan ini kita umat manusia juga menebang hutan, pokok dan kayu kayan. Manusia pemusnah hutan.

Ada apa dengan hutan dan kayu-kayan. Apa sangkut paut hutan balak dengan pemanasan rumah hijau bumi.
 
Tunggu pencerahan. Amin. – 11 Januari 2023. 

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen