BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar tindakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang berterusan mencari kesalahan dengan menyasarkan perbelanjaan kerajaannya dalam pakej rangsangan dan bantuan pandemik Covid-19.
Beliau mempersoalkan motif PH dan BN hampir setiap hari melemparkan tohmahan terhadap PN dan secara berterusan, yang terbaru berkaitan penahanan reman Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut untuk tujuan siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion juga dikaitkan dengannya.
“Apa motif mereka? Jawapannya mudah. PH-BN takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Mereka gelisah melihat PN mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62% orang Melayu dan Bumiputera dalam PRU-15.
“Jadi saya fikir mereka gentar menghadapi kemaraan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam buah negeri di Semenanjung Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kerana itu, kerajaan PH-BN akan terus melakukan pembunuhan karakter (character assasination) terhadap PN dan saya dengan melemparkan pelbagai tohmahan jahat yang tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Terdapat gesaan berulang kali supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja meneliti perbelanjaan RM600 bilion di bawah pentadbiran Muhyiddin.
Beberapa ahli Parlimen juga menuduh ahli Parlimen Pagoh menyalahgunakan dana semasa pandemik Covid.
Pengerusi PN itu berkata beliau tidak menolak kemungkinan tuduhan mengenai RM600 bilion dibuat supaya tindakan undang-undang terhadap Bersatu dapat diambil dengan tujuan melemahkan kepimpinan parti dan menyukarkan parti pada pilihan raya negeri akan datang .
Muhyiddin mengulangi tiada satu sen pun masuk ke akaun bank peribadinya.
“Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati bahawa tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun BERSATU atau akaun saya adalah palsu. Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mendakwa pentadbiran PN pimpinan Muhyiddin menyalahgunakan dana tersebut.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang merupakan menteri kewangan dalam kerajaan Muhyiddin kemudiannya menolak tuduhan itu berkata perbelanjaan melibatkan lapan pakej itu dilakukan secara telus.
Bulan lalu Muhyiddin dilaporkan berkata perbelanjaan membabitkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal bernilai RM83 bilion.
Beliau berkata ini termasuk pembelian vaksin bernilai RM5 bilion dan pelbagai bentuk bantuan tunai terus untuk rakyat seperti subsidi gaji RM20.92 bilion, Bantuan Prihatin Nasional bernilai RM18.2 bilion, Geran Khas Prihatin bernilai RM4.21 bilion, Geran Khas Prihatin Permai bernilai RM842 juta, Skim Pembiayaan Mudah Bumiputera bernilai RM500 juta dan bantuan lain yang dimasukkan terus ke dalam akaun penerima yang layak.
SPRM empat hari lalu menahan reman seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang bertindak sebagai orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi dari 2020 hingga 2022.
Menurut sumber lelaki berusia 42 tahun itu direman lima hari sehingga hari ini.
SPRM membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat bagi mendapatkan projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta melalui rundingan terus. – 10 Januari 2023.
Komen