Judi: Wadah kepercayaan nasib dan takdir


Ruhan Shahrir

“MAKA di sana Merah Silau itu diam. Hatta kalakian maka beberapa lamanya Merah Silau itu duduk di sana, sehari-hari kerjanya bermain hayam menyabung maka datanglah segala juara bermain hayam menyabung kepada Merah Silau itu dan jikalau Merah Silau itu alah, dibayarnya taruhnya, dan jikalau orang itu alah tiada dimintanya taruhnya orang itu.

“Maka terdengarlah kepada segala orang besar-besar dan segala orang tuha-tuha yang dalam negeri itu. Maka segala mereka itu pun datanglah bermain-main menyabung kepada Merah Silau itu. Maka apabila mereka itu kembali, maka diberinya mereka itu seorang seekor kerbau, maka sukacitalah segala orang yang datang itu yang bermain dengan Merah Silau itu” (Petikan daripada Hikayat Raja Pasai, 1390-an).

“Maka dilihat oleh Patih dan Laksamana lalu itu; maka kata Patih, “Hendak ke mana anakku gopoh-gopoh ini?” Maka sahut Laksamana, “Manira tiada ke mana; manira hendak berjudi ke rumah Raden Aria.” Maka kata Patih Gajah Mada, “Sayang manira hendak masuk mengadap; jika tiada, manira pun hendak pergi berjudi juga sama-sama anakku” (Petikan daripada Hikayat Hang Tuah 1700-an).

Ada antara beberapa hari

Berbagai perbuatan laku dan peri

Ada yang ke laut pergi mencari

Setengah menjala sehari-hari

Mana yang diam duduk bersenang

Sabung dan judi alah dan menang

Setengahnya pergi ke Pulau Pinang

Ada yang mengembara mencari tunang (Petikan daripada Misa Melayu, 1780-an).

Di atas hanyalah beberapa petikan daripada teks lama Melayu mengenai judi. Jika dilakukan kajian yang lebih mendalam dan teliti kita akan dapati ada banyak lagi teks-teks Melayu lama yang memerihalkan kegiatan perjudian dalam masyarakat Melayu pada zaman dahulu.

Walaupun terdapat teks Melayu yang menegah kegiatan perjudian, ia tetap terus berjalan. Misalnya dalam teks Bustan al-Salatin ada dinyatakan seperti berikut:

“Adalah masa itu mendiami negeri Pahang itu Raja Johor. Dan beberapa negeri lain dialahkannya, daripada negeri kecil-kecil, dan ialah yang perbuat Masjid Bait al-Rahman dan beberapa masjid pada tiap-tiap negeri. Dan ialah yang mengeraskan agama Islam dan menyuruhkan segala rakyatnya sembahyang lima waktu, dan puasa Ramadan dan sunat, dan menegahkan sekalian mereka itu minum arak dan tuak, dan berjudi.”

Bustan al-Salatin mula ditulis pada 1638, yakni hampir 400 tahun lampau. Namun tetap saja judi terus berlangsung dalam masyarakat Melayu dalam pelbagai bentuk. Malah kegiatan judi dalam bentuk cabutan nombor kemudiannya diinstitusikan oleh kerajaan Parti Perikatan (sebelum ia dijenamakan sebagai Barisan Nasional) pada 1951 menerusi Loteri Kebajikan Masyarakat.

Hanya pada September 1990 barulah Loteri Kebajikan Masyarakat diberhentikan kegiatannya secara rasmi. Latar kepada pengharaman Loteri Kebajikan Masyarakat ini ialah perubahan epistemologi (baca: kerangka pemikiran) Melayu yang selari dengan zaman kebangkitan Islam serta dasar penerapan nilai Islam yang dijalankan kerajaan Malaysia pada era tersebut.

Penelusuran sejarah secara ringkas ini menunjukkan amalan berjudi bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat Melayu-Islam. Manakala wacana judi dari berbagai sudut dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam juga rencam.

Pandangan ulama

Ketika perjudian rasmi yang dijalankan kerajaan masih berkuatkuasa, alim ulama Melayu berbeza pandangan dalam membahaskan permasalahan judi. Pandangan Mufti Terengganu Sheikh Syed Yusof Al-Zawawi yang disokong pula Jabatan Agama Islam Johor misalnya, menghujahkan penggunaan duit loteri halal jika tujuannya ialah untuk kebajikan serta kemaslahatan umat Islam.

Namun, tentunya pandangan tersebut ada tandingannya. Majlis Ulama Perak dan Mufti Pulau Pinang ketika itu, Sheikh Abdullah Fahim misalnya, tegas berhujah menyatakan kegiatan judi seperti loteri haram sama sekali.

Manakala pada hari ini, pandangan alim ulama Melayu dan jabatan agama Islam negeri sepakat mengharamkan kegiatan perjudian untuk penganut Islam. Namun, belum ada lagi fatwa yang mengatakan bukan Islam turut dilarang daripada melakukan kegiatan berjudi. Lakum dinukum waliyadin.

Dalam konteks ini perubahan epistemologi Melayu berkenaan judi dipengaruhi wacana dominan pada zamannya. Manakala wacana yang diajukan itu tentu juga dipengaruhi latar sosial, ekonomi dan politik semasa.

Wacana zaman

Justeru itu, tindakan kerajaan negeri Kedah menamatkan semua operasi kedai judi di negeri tersebut bermula pada 1 Januari, 2023 perlu dilihat dalam konteks ini, yakni perubahan epistemologi Melayu dan juga latar sosio-ekonomi-politik yang sedang berlangsung dalam masyarakat Melayu dewasa ini.

Menampilkan tindakan yang dilihat sebahagian besar daripada masyarakat Melayu sebagai “Islamik” dipercayai akan memberikan kelebihan politik kepada kerajaan diterajui PAS di Kedah.

Apakah tindakan tersebut benar-benar “Islamik” apabila ia turut menghalang hak bukan Muslim untuk mengamalkan kegiatan yang tidak diharamkan agama atau kepercayaan mereka, adalah sesuatu yang boleh diperdebatkan.

Apakah dalam Islam dibenarkan untuk memaksa kepercayaan atau fatwa yang hanya terpakai kepada umat Islam kepada komuniti bukan Muslim, adalah sesuatu yang juga boleh diperbahaskan. Lakum dinukum waliyadin.

Mengetepikan persoalan wacana dominan dalam masyarakat Melayu berkaitan judi dan konteks sosioekonomi-politik yang melatarinya, kegiatan perjudian seperti yang ditelusuri dari sudut sejarahnya di atas, berlangsung sejak sekian lama.

Malah, dalam konteks perkembangan teknologi maklumat dan internet sekarang ini, pelbagai bentuk perjudian boleh ditemui dalam talian (online). Capaiannya boleh dilakukan di mana saja menerusi telefon pintar. Manakala pertaruhannya pula boleh dibuat tanpa perlu keluar dari rumah pun. Segalanya di hujung jari.

Bahkan saya percaya, walaupun terdapat pengharaman ke atas penganut Islam daripada menyertai kegiatan perjudian dan pertaruhan di seluruh negeri di Malaysia, tetap akan ada manusia Melayu-Islam yang masih meneruskan kegiatan judi sama ada secara tersembunyi menerusi penganjuran judi tertutup, mahu pun secara dalam talian.

Persoalannya kenapa?

Untung rugi nasib

Judi secara ringkasnya ialah suatu bentuk kegiatan dan juga permainan yang mempertaruhkan sesuatu yang mempunyai nilai tertentu dengan harapan memperolehi ganjaran atau keuntungan melebihi nilai apa dipertaruhkan itu menerusi kemenangan secara umumnya ditentukan nasib.

Kata kuncinya di sini ialah nasib. Idea tentang nasib ini berkait rapat dengan kepercayaan manusia kepada takdir.

Nasib pada umumnya dipercayai berlaku secara rawak di luar kuasa manusia untuk menentukannya dan biasanya akan dirujuk kepada ketentuan yang ditetapkan unsur metafizik atau ghaib seperti tuhan, dewa, datuk kong, ruh, semangat dan idea kewujudan di luar alam fizikal.

Wujud di luar alam fizikal inilah yang dipercayai menentukan sesuatu kejadian dianggap sebagai nasib itu. Idea mengenai takdir beroperasi di ruang lingkup ini – iaitu kepercayaan adanya campur tangan daripada unsur metafizik atau ghaib tadi yang menyebabkan terjadinya apa yang telah terjadi.

Justeru, pada hemat saya judi sebahagiannya berakar-umbi daripada kepercayaan tersebut. Bahawasanya ada kejadian yang dianggap sebagai nasib berlaku kerana takdir yang ditentukan unsur metafizik atau ghaib tersebut.

Sukar untuk kita menjelaskan secara logik akal misalnya kejadian seorang suri rumah berusia 50 tahun dari Ipoh memenangi RM20.75 juta hasil permainan Toto 4D Jackpot baru-baru ini.

Bagaimana sepasang empat nombor digit yang dibelinya boleh naik sebagai nombor yang menang sedangkan kebarangkaliannya adalah 1 daripada 10,000 untuk setiap satu pasangan nombor tersebut.

Tidak ada penjelasan tuntas dan munasabah boleh dibuat kecuali meletakkan apa yang berlaku itu kepada nasib.

Manakala nasib beliau itu pula dipercayai ramai manusia sebagai sebahagian takdir yang ditetapkan. Takdir yang mengubah nasib seorang suri rumah biasa kepada seorang jutawan dalam sekelip mata.

Memandangkan manusia pada umumnya percaya kepada wujudnya takdir dalam menentukan nasib seseorang, maka dorongan untuk “mencuba nasib” adalah bayang terselindung yang sentiasa ada dalam psikologi manusia.

Tentunya bukan semua tindakan “mencuba nasib” itu boleh dikategorikan sebagai judi. Ia hanya menjadi judi bila melibatkan pertaruhan untuk mendapatkan keuntungan yang ditentukan secara rawak oleh nasib.

Dalam konteks ini, judi boleh dikatakan sebagai salah satu daripada kegiatan “mencuba nasib” yang punya daya tarik untuk mendorong manusia menyertainya terutama apabila keuntungan yang ditawarkan melebihi berlipat kali ganda daripada apa yang dipertaruhkan.

Dengan kata lain, taruhannya kecil, untungnya besar. Walaupun hakikat sebenarnya ialah kebarangkalian untuk rugi jauh lebih tinggi daripada untung.

Masyarakat kapitalisme

Namun, berahi untuk membuat untung besar dengan taruhan kecil walaupun risiko ruginya lebih tinggi bukan hanya didorong oleh psikologi manusia dan kepercayaan abstrak terhadap nasib serta takdir tetapi juga sistem kehidupan yang bersandarkan kapitalisme itu sendiri cenderung membuatkan judi sukar untuk dibanteras sepenuhnya.

Nilai kejayaan dalam masyarakat kapitalisme umumnya diukur menerusi kepemilikan harta benda dan wang ringgit (baca: modal). Selain kemewahan, kekayaan dan kuasa beli, penghormatan, status dan kedudukan sosial juga umumnya ditentukan menerusi kepemilikan modal.

Namun dalam sistem kapitalisme bukan semua orang mampu mencapainya. Peluang untuk mencapainya juga tidak sama. Kapitalisme sebagai suatu sistem yang mengatur kehidupan masyarakat dicirikan oleh masyarakat berkelas.

Peluang untuk seseorang daripada keluarga kelas buruh atau kelas petani atau kelas bawah meningkatkan kedudukan sosialnya tidak sama dengan seseorang daripada keluarga kelas pemodal, atau kelas menengah atau kelas atasan atau kelas bangsawan.

Buruh kilang walaupun bekerja keras 12 jam sehari sekali pun takkan mencapai tingkat kekayaan seperti seorang CEO syarikat konglomerat atau pegawai tinggi perkhidmatan awam. Kapitalisme cenderung memberi kelebihan buat mereka yang bermodal (baca: kelas yang lebih tinggi).

Dalam sistem masyarakat yang melahirkan ketaksamaan sebegini, judi memberi semacam peluang untuk mengubah nasib tanpa perlu menghadapi halangan rumit dan kompleks yang biasanya melingkari kehidupan seseorang yang datang dari kelas bawahan.

Ilusi judi

Justeru itu, banyak kajian sosiologi menemukan judi lebih banyak disertai mereka yang datang dari kelas bawahan. Judi memberi ilusi jalan keluar mudah buat mengubah nasib seorang buruh misalnya, untuk membebaskan dirinya dan keluarganya daripada lingkaran kemiskinan yang diakibat oleh sebuah sistem yang tidak menyebelahinya. Menjadi kaya adalah juga menjadi berjaya dalam ukuran nilai sistem kapitalisme.

Ini bukanlah untuk mengatakan golongan kelas atasan tidak terlibat dalam permainan judi. Mereka juga ada yang turut terlibat tetapi motivasinya berbeza. Ya, tentunya ada juga daripada mereka yang turut dimotivasikan keinginan untuk menjadi lebih kaya.

Namun, memandangkan mereka sudah pun memiliki kekayaan, judi boleh saja menjadi suatu kegiatan bersenang-senang di waktu luang untuk mencuba permainan nasib yang dapat memberikan semacam kejutan, hiburan dan keseronokan kepada mereka.

Judi juga boleh menjadi suatu bentuk pelarian daripada kehidupan moden yang banal, bosan dan rutin.

Memandangkan judi adalah permainan nasib yang hasilnya tak dapat ditentukan dengan pasti, maka sensasi kejutan itu membuatkan tubuh mengeluarkan hormon dopomine yang membolehkan perasaan mengalami rasa “high”.

Dalam konteks ini, judi mencetuskan keterujaan, sensasi, cemas, getar, rangsangan adrenalin dan juga debaran jantung yang dapat memberikan sekurang-kurangnya sedikit kegembiraan hidup, walaupun sekejap, dalam sistem kapitalisme yang cenderung materialistik dan individualistik, sunyi dan sendirian, ditandai pula dengan hubungan antara manusia yang umumnya bersifat cetek, longgar dan sementara.

Menghentikan operasi kedai judi sepertimana dilakukan Kedah baru-baru ini hanyalah menyapu lapisan atas daripada suatu permasalahan kompleks yang menyelaputi judi. Lapisan bawahnya, yakni sistem kapitalisme yang melahirkan dorongan buat manusia untuk terlibat di dalam kegiatan perjudian tidak tersentuh. Manakala lapisan akarnya yang tersulam kepercayaan abstrak manusia terhadap nasib dan takdir tentunya tidak terusik.

Justeru, pada hemat saya judi akan terus berlangsung selagi kesenjangan ekonomi yang mewujudkan ketaksamaan dalam masyarakat tidak dirombak dan diperbetulkan. Malah kalau kesenjangan yang menghasilkan ketaksamaan tersebut dapat dirapatkan sekali pun, judi akan tetap ada, kalau tidak secara terang, ia akan wujud secara gelap, kerana tersulam dalam judi adalah sebuah kepercayaan tua nasib boleh berubah menerusi takdir.

Dan judi sebagai suatu kegiatan yang sudah berusia ribuan tahun menyediakan wadah tersebut buat manusia. – 9 Januari, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen