BADAN Peguam Malaysia menggesa satu badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat kes pelarian Rohingya melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Sungai Bakap dan pengusiran wartawan Pakistan Syed Fawad Ali Shah.
Presidennya Karen Cheah hari ini melahirkan kebimbangan terhadap dua isu berkenaan, yang mencerminkan kegagalan Malaysia melindungi pelarian dan pencari suaka.
“Libat urus antara pihak berkepentingan dengan agensi termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Badan Peguam Malaysia serta organisasi berkaitan wajar dimulakan segera.
“Penyertaan pelbagai institusi akan menggalakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam siasatan,” katanya ketika berucap pada majlis Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di Putrajaya, hari ini.
April tahun lalu, enam pelarian Rohingya meninggal dunia akibat rusuhan di Depoh Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang dan melarikan diri. Enam pelarian terbabit, termasuk dua kanak-kanak, maut dirempuh kereta ketika cuba melarikan diri di Lebuhraya Utara Selatan.
Manakala wartawan Pakistan Syed Fawad Ali Shah, yang tinggal dalam buangan di Malaysia selama lebih sepuluh tahun dihantar pulang ke negara asalnya pada Ogos tahun lalu. Putrajaya ketika itu di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.
Syed Fawad sebelum ini mendakwa beliau pernah ditahan pihak berkuasa Pakistan pada 2008 kerana menulis artikel berkaitan kehilangan paksa di negara itu. – 9 Januari 2023.
Komen