Manifesto Pakatan terlalu mudah, kata penganalisis 


Noel Achariam

Menurut penganalisis, manifesto Pakatan Harapan perlu diperjelas secara terperinci bagi membolehkan rakyat melihat bagaimana janji-janji itu dapat dilaksanakan dalam tempoh yang dijanjikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2018. 

MANIFESTO Pakatan Harapan kurang jelas dan kabur dalam memberikan mekanisme bagaimana pembangkang merancang untuk mencapai sasaran 100 hari mereka, kata penganalisis di bawah Majlis Profesor Negara (MPN).

Pengerusi MPNPoll Shamsul Amri Baharuddin berkata manifesto PH, yang dipanggil Buku Harapan yang dikeluarkan pada Khamis lalu adalah terlalu mudah. 

“Mereka mahu melaksanakan kesemua janji ini tetapi bagaimana mereka mahu melakukannya dalam masa 100 hari?

“Persoalan utama kami adalah sejauh mana mereka boleh mencapai 10 janji?”

Shamsul berkata perubahan yang dibuat terhadap sistem akan melalui pelbagai proses sebelum ia boleh dilaksanakan, yang mana ada di antaranya perlu dibawa ke Parlimen untuk diluluskan. 

Dalam tempoh 100 hari memerintah, PH mensasarkan untuk memenuhi 10 janji. 

Antaranya memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), mengambil langkah untuk mengurangkan kos sara hidup dan mengurangkan beban Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

PH turut mensasarkan untuk menangguhkan pembayaran pinjaman PTPTN kepada mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah dan memansuhkan dasar senarai hitam sedia ada. 

Shamsul berkata, sasaran PH untuk memansuhkan GST dan PTPTN adalah tidak realistik. 

“Kami tidak rasa memansuhkan GST satu tindakan yang betul. Sebelum ini mereka mahu menghapuskan GST dan kini mereka mahu memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST). 

“Kami rasakan ia tidak realistik dan jika mereka tidak mengutip dana yang cukup untuk SST bagaimana kerajaan akan berfungsi?

“Dalam 100 hari tabpa GST, kerajaan PH tidak dapat berfungsi. Di mana mereka mahu dapatkan dana?”

Sama dengan PTPTN kata Shamsul, jumlah wang untuk pinjaman itu akan dikurangkan sekiranya peminjam tidak membayar balik pinjaman mereka

“Jadi bagaimana PTPTN nak berikan pinjaman kepada pelajar lain?” katanya. 

Shamsul berkata, dalam cubaan untuk mendekati rakyat, PH teah menjadi terlalu mudah dalam manifesto mereka, yang mana katanya ia dibuat bagi memuaskan hati masyarakat dan bukan untuk keperluan pembangunan negara. 

“Untuk memudahkan rakyat faham manifesto mereka, mereka permudahkannya. Perlu ada lebih butiran mengenai bagaimana mereka mahu menunaikan janji itu,” katanya.

“Manifesto mereka membangkitkan banyak isu popular dalam negara. 

“Secara keseluruhannya bagi kami, ia terlalu menumpukan kepada isu individu, berbanding isu nasional seperti perpaduan dan agama. Ia tidak dicatat dalam manifesto itu.”– 10 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen