SOP kemasukan pelancong asing ke Malaysia kekal, kata menteri


PROSEDUR operasi standard (SOP) kemasukan pelancong asing di kwsemua pintu masuk antarabangsa kekal setakat ini, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata sebarang keputusan berhubung SOP baharu hanya akan dibuat berlandaskan data terkini Covid-19.

Saifuddin juga menjelaskan SOP dikenakan kepada pelancong yang tiba di Malaysia termasuk dari negara China adalah sama dengan ketibaan dari negara-negara lain.

“Tentulah tidak bijaksana untuk selektif dan saya fikir tidak tepat untuk negara ambil pendirian begitu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan kepentingan menjaga keselamatan rakyat daripada sebarang ancaman kesihatan termasuk wabak Covid-19.

Rabu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak mendiskriminasi mana-mana negara dalam menjalankan pemeriksaan Covid-19 terhadap pelancong yang tiba di negara ini namun mahu memastikan kesihatan rakyat diutamakan.

Menurut Anwar, kawalan di pintu masuk negara oleh Jabatan Imigresen juga diperketat bagi memantau kemasukan rakyat asing ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pelancong yang dikenal pasti mengalami demam akan dibawa ke sudut khas untuk diperiksa pegawai perubatan.

“Kalau suhu 37 darjah celsius, mereka letak (pelancong) di ‘point’ khusus untuk buat semakan. Jika kekal dengan rekod tanda-tanda iaitu positif…terus dibawa ke Hospital Sungai Buloh,” katanya. – Bernama, 8 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen