CHINA menarik balik syarat kuarantin yang dikenakan ke atas pelancong ke negara itu pada hari Ahad.
Ia sekaligus menamatkan hampir tiga tahun pengasingan walaupun negara itu berdepan lonjakan kes Covid.
Pelancong yang tiba selepas penarikan balik syarat berkenaan turut meluahkan rasa lega kerana tidak perlu menjalani kuarantin.
Sempadan Hong Kong dengan tanah besar China turut dibuka semula selepas bertahun-tahun ditutup.
Sementara itu lebih 400,000 orang dijangka akan melakukan perjalanan ke utara negara itu dalam tempoh lapan minggu akan datang.
Bulan lalu, Beijing memulakan langkah untuk membatalkan strategi yang dilaksanakan untuk mengekang penularan Covid-19.
Antara langkah yang dikenakan adalah menguatkuasakan kuarantin wajib dan mengenakan sekatan perjalanan ke atas rakyatnya.
Dasar itu memberi impak besar kepada ekonomi kedua terbesar dunia itu dan mencetuskan bantahan di seluruh negara sejurus sebelum ia diredakan.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai, seorang wanita bernama Pang memberitahu AFP dia teruja dengan kemudahan perjalanan.
“Saya fikir ia sangat bagus bahawa dasar itu telah berubah sekarang, ia benar-benar berperikemanusiaan,” katanya kepada AFP.
“Ia adalah satu langkah yang perlu. Covid telah menjadi normal sekarang dan selepas halangan ini semuanya akan lancar,” katanya. – AFP, 8 Januari, 2023.
Komen