PILIHAN raya negeri (PRN) di tiga negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mungkin diadakan pada Jun depan, kata sumber.
Sumber berkata pemimpin PKR dalam satu mesyuarat diminta bersiap sedia untuk kemungkinan PRN diadakan pada Jun.
Beliau bagaimanapun berkata tiada tarikh diberikan pada mesyuarat itu.
“Tiada pengesahan tentang tarikh PRN dalam perbincangan itu tetapi kami diberitahu supaya bersedia, mungkin pilihan raya akan diadakan pada Jun tahun ini,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.
“Ini satu petunjuk. Kami tidak berhenti bekerja sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jadi kami hanya perlu meneruskan kerja dan berusaha lebih sekarang,” kata sumber.
Enam negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu – memutuskan untuk tidak membubarkan dewan undangan negeri masing-masing dan mengadakan PRN berasingan daripada PRU15.
Hanya tiga negeri – Pahang, Perakdan Perlis mengadakan pilihan raya serentak dengan PRU15.
Sementara itu, Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak mengadakan PRN masing-masing sebelum PRU15.
Semua enam negeri perlu mengadakan PRN sebelum September 2023.
Sumber berkata ia keputusan bijak untuk PH tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15. – 8 Januari, 2022.
Komen