China tamatkan kuarantin untuk pelancong luar negara


Bulan lalu Beijing memulakan penarikan dramatik strategi virus ketat yang menyaksikan kuarantin mandatori dan sekatan ekstrem. – Gambar EPA, 8 Januari, 2023.

CHINA menarik balik keperluan kuarantin untuk pelancong masuk pada Ahad, menamatkan hampir tiga tahun pengasingan kendiri walaupun negara itu menghadapi lonjakan kes Covid-19.

Bulan lalu Beijing memulakan penarikan dramatik strategi virus ketat yang menyaksikan kuarantin mandatori dan sekatan ekstrem.

Dasar pembendungan menjejaskan ekonomi China dan mencetuskan protes di seluruh negara.

Dalam penarikan terakhir peraturan itu pada Ahad akan menyaksikan pelancong masuk ke China tidak lagi perlu dikuarantin.

Sejak Mac 2020, semua ketibaan luar terpaksa menjalani pengasingan di kemudahan kerajaan berpusat. Ia menurun daripada tiga minggu kepada satu minggu pada musim panas ini, dan kepada lima hari pada November.

Rakyat China bergegas merancang perjalanan ke luar negara selepas kerajaan pada bulan lalu mengumumkan kuarantin akan dihentikan, menyebabkan lonjakan pertanyaan maklumat di laman web pelancongan popular.

Tetapi peningkatan pelawat menyebabkan berbelas negara mengenakan ujian Covid-19 mandatori ke atas pelancong dari negara paling ramai penduduk di dunia itu ketika ia memerangi wabak paling teruk pernah berlaku.

Wabak itu diramalkan akan bertambah buruk apabila tiba cuti Tahun Baru Cina bulan ini, dengan jutaan penduduk di bandar besar dijangka bergerak ke luar bandar untuk melawat orang tua yang mempunyai risiko lebih tinggi.

Beijing menyifatkan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negara lain “tidak boleh diterima”, walaupun ia terus menyekat pelancong asing dan pelajar antarabangsa daripada pergi ke China.

Di seluruh Asia, hab pelancongan sedang bersiap sedia menghadapi lonjakan pelawat China.

Di gerai krep di Seoul, Son Kyung-rak berkata beliau sedang membuat rancangan untuk menangani kebanjiran pelancong.

“Kami sedang mencari untuk mengupah pekerja serta bersiap sedia dengan stok,” kata peniaga itu kepada AFP.

“Pelancong China adalah pelanggan utama kami, jadi lebih ramai lebih meriah.”

Di Tokyo, pelukis karikatur Masashi Higashitani mengilap kemahiran bahasa Cinanya sebagai persediaan menerima lebih ramai pelancong.

Walaupun teruja dengan pembukaan semula China, beliau mengakui sedikit kebimbangan.

“Saya tertanya-tanya sama ada kemasukan terlalu banyak daripada mereka mungkin mengatasi kapasiti kita. Saya juga bimbang kita perlu lebih berhati-hati mengenai langkah anti-virus,” katanya kepada AFP.

Hong Kong dibuka

Di bandar separa autonomi selatan China di Hong Kong, Ahad juga akan menyaksikan kelonggaran utama sekatan perjalanan rentas sempadan yang ketat dengan tanah besar China.

Ekonomi Hong Kong yang dilanda kemelesetan terdesak untuk menyambung semula dengan sumber pertumbuhan terbesarnya, dan keluarga yang dipisahkan oleh sempadan menantikan pertemuan semula pada Tahun Baru Cina.

Sehingga 50,000 penduduk Hong Kong akan dapat menyeberangi sempadan setiap hari di tiga pusat pemeriksaan darat selepas mendaftar dalam talian.

Sebanyak 10,000 lagi akan dibenarkan masuk melalui laut, udara atau jambatan tanpa perlu mendaftar terlebih dahulu, kata ketua bandar itu John Lee.

Lebih 280,000 jumlah sudah mendaftar untuk membuat perjalanan dalam masa sehari selepas peraturan baharu diumumkan.

Bagaimanapun pengembara Hong Kong masih perlu mengemukakan keputusan ujian negatif asid nukleik yang diperoleh tidak lebih 48 jam sebelum berlepas.

Pihak berkuasa imigresen akan mula mengeluarkan permit untuk warga tanah besar pergi ke Hong Kong dan Macau “mengikut situasi wabak dan kapasiti perkhidmatan”, kata bandar itu.

Syarikat penerbangan Hong Kong Cathay Pacific berkata ia akan menggandakan penerbangannya ke tanah besar China. – AFP, 8 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen