KERAJAAN masih belum memutuskan tarikh untuk membawa usul cadangan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata timbalan perdana menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid mengesahkan kerajaan telah menerima laporan SPR pada Jumaat, namun berkata perbincangan masih belum dibuat dengan Perdana Menteri Najib Razak dan Speaker Pandikar Amin Mulia berhubung perkara itu.
“Kami masih belum menentukan tarikh untuk membawa usul perbahasan Titah Diraja masih berjalan, dan kemudian sesi soal jawab menteri diikuti dengan pembentangan usul baru.
“Saya perlu berbincang dengan ketua Parlimen iaitu perdana menteri dan juga speaker untuk menetapkan tarikh,” katanya.
Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah berkata persempadanan semula, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 113 (10) Perlembagaan Persekutuan, telah siap pada Jumaat dan diserahkan kepada Najib.
Hashim turut merakamkan penghargaan bagi pihak SPR terhadap semua pihak yang memberi kerjasama dan turut serta memberikan input serta maklum balas proses persempadanan semula pilihan raya.
Bagaimanapun, terdapat kritikan yang menyatakan SPR telah melanggar Perlembagaan Persekutuan yang mana laporan akhir disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa tanpa inkuiri tempatan untuk mendengar sebarang bantahan.
Peguam Derek Fernandez, yang juga ahli majlis MBPJ berkata pihak majlis itu telah memfailkan bantahan terhadap perubahan sempadan kawasan kerusi Parlimen dan Dun di Petaling Jaya sebagaimana yang ditetapkan dalam cadangan kedua SPR.
Walaupun demikian, Fernandez berkata SPR tidak memanggil MBPJ untuk sebarang inkuiri selepas bantahan itu difailkan.
“Mereka secara jelas prlu berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan walaupun mereka mencadangkan untuk kekalkan status quo. Tidak memanggil MBPJ pada saya, ia sudah melanggar Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Pakatan pembangkang Pakatan Harapan dan pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 telah menghantar 200 bantahan, yang mewakili 30,000 tandatangan, kepada SPR bulan lalu untuk mencabar cadangan itu. Bagaimanapun, terdapat kritikan yang mengatakan hanya 20% bantahan telah didengar setakat ini.
Sebanyak 15 kes turut difailkan di mahkamah bagi mencabar persempadanan semula yang menyebabkan ia tertangguh selama lebih setahun, namun kesemuanya ditolak oleh mahkamah.
Fernandez berkata keputusan mahkamah baru-baru ini menunjukkan “tiada kerelaan untuk membenarkan cadangan SPR dicabar, oleh itu MBPJ tiada penyelesaian sama seperti pengundi di Petaling Jaya”.
Katanya laporan SPR yang lengkap tanpa terlebih dahulu membenarkan hak mereka yang membantah didengar merupakan satu “penghinaan kepada pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia”.
“Sekiranya SPR kebal daripada semakan kehakiman, jadi SPR melangkaui undang-undang.
“Ia merupakan hari paling menyedihkan buat demokrasi apabila badan berkenaan kebal daripada kehakiman, dan rakyat terperangkap dalam permainan yang tidak adil,” kata Fernandez. – 10 Mac, 2018.
Komen