Pakatan yakin menang PRN Kedah, kata Saifuddin


Ravin Palanisamy

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata mereka akan berusaha untuk menuntut Kedah dalan PRN akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2023.

Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang sama rata untuk memenangi Kedah daripada Perikatan Nasional (PN) apabila pilihan raya negeri diadakan, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Walaupun keutamaan adalah untuk mengekalkan tiga negeri yang dipegang PH sekarang, setiausaha agung PKR itu berkata mereka akan berusaha untuk menuntut Kedah.

“Kami berpendapat peluang PH kekal seimbang di Kedah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis presiden PH hari ini di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

“Fokus adalah untuk mempertahankan tiga negeri yang kini diperintah PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Secara amnya, kepimpinan PH meletakkan keyakinan sedemikian berdasarkan kajian semasa,” tambahnya.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata mereka akan menghantar suara pembangkang yang kuat di Kelantan dan Terengganu walaupun gabungan itu tidak menang di negeri berkenaan. 

Beliau berkata pemimpin PH belum mengadakan perbincangan terperinci bagi persiapan menghadapi pilihan raya negeri.

Enam negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu – memutuskan untuk tidak membubarkan DUN mereka dan mengadakan pengundian serentak dengan pilihan raya umum.

Hanya Pahang, Perak dan Perlis mengadakan pengundian serentak dengan pilihan raya umum.

Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak sudah pun mengadakan pilihan raya negeri sebelum pilihan raya umum.

Enam negeri perlu mengadakan PRN menjelang September.

Pulau Pinang menjadi kubu kuat DAP PH sejak 2008 apabila ia menggulingkan kerajaan negeri Barisan Nasional. PH (ketika itu Pakatan Rakyat) memenangi Selangor pada 2008.

Hanya pada 2018 PH akhirnya menawan Negeri Sembilan.  – 7 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen