Politik di Sabah masih tenang, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Anwar dijadualkan berlepas ke Indonesia esok untuk lawatan rasmi selama dua hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2023.

KEADAAN politik di Sabah masih tenang meski Barisan Nasional menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini.

Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan buat masa ini situasi di sana terkawal dan katanya beliau sudah berbincang dengan pemimpin-pemimpin Sabah.

“Saya sudah bercakap dengan Ketua Menteri (Sabah) Hajiji Noor dan Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi Barisan Nasional) dan Bung Moktar Radin (Pengerusi Umno Sabah).

“Insya-ALLAH, harap pentadbiran negeri tidak terjejas.

“Fokus kita masih pada eonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Anwar yang dijadualkan ke Jakarta esok untuk lawatan rasmi berkata beliau akan meneliti isu di Sabah dengan lebih mendalam.

“Selepas saya balik dari Jakarta, saya akan lihat masalah Sabah ini,” katanya.

Tambahnya beliau akan bertemu dengan pemimpin Sabah sebaik pulang ke tanah air dari lawatan rasmi itu.

Namun beliau tidak menamakan sesiapa.

Berkait penarikan sokongan, malam tadi Bung Mokhtar berkata Hajiji tidak lagi layak memegang jawatan ketua menteri di bawah Fasal 6(3) dan Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Menurut Perlembagaan Negeri Sabah, ketua menteri mesti dipilih dari parti majoriti. Dia (Hajiji) tidak ada parti, dia bersama GRS iaitu parti gabungan besar,” katanya kepada media.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah meliputi 79 wakil dengan 73 dipilih sementara enam lagi dilantik.

Dengan penarikan sokongan BN yang mempunya 18 Adun, kerajaan negeri Sabah pimpinan Hajiji kini masih memiliki 41 Adun – 29 GRS, tujuh PH, tiga Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, satu Parti Harapan Rakyat Sabah dan satu Bebas.

Sementara Warisan memiliki 19 kerusi dan PAS satu kerusi. – 7 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen