RATUSAN aktivis berarak di pusat bandar Kuala Lumpur hari ini sempena sambutan Hari Wanita Sedunia dengan menuntut penyertaan lebih besar untuk wanita dalam ruang awam.
Kumpulan wanita tersebut berarak sejauh 1 kilometer bermula di perkarangan kompleks beli belah Sogo sehingga ke Dataran Tugu Masjid Jamek pagi ini dengan melaungkan slogan “tuntut semula ruang kita”.
Para aktivis turut membawa poster dan kain rentang yang memaparkan slogan seperti “March like a girl”, “Perempuan bersatu” dan “Wanita bangkit lawan patriaki”.
Shaqirah Shauqi, kordinator Gerakan Pembebasan Wanita (GPM) berkata, tiga tuntutan asas berhubung perkara itu adalah perjuangan peluang pekerjaan dan hak gaji sama rata, pengapusan diskriminasi gender, hak kepimpinan demokrasi untuk wanita.
Selain itu, kumpulan aktivis berkenaan juga menuntut agar menghentikan kemusnahan alam sekitar, penghapusan budaya rogol dan keganasan sosial, katanya.
“Sehingga hari ini, wanita masih lagi ditindas,” laung Shaqirah yang merupakan salah seorang anggota Jawatankuasa Hari Wanita Sedunia yang menganjurkan perhimpunan hari ini.
Berucap di atas satu trak pikap, gadis bertubuh kecil berusia 27 tahun itu turut menyeru golongan wanita untuk menolak patriaki yang menyebabkan wanita terdedah kepada dominasi dan ekspoloitasi.
“Pertama (wanita) berada dalam cengkaman kekuasaan kapitalis dan kedua (wanita) ditindas di dalam masyarakat kerana status gender mereka,” katanya lagi.
Beliau turut mengimbau semula satu insiden dalam perhimpunan wanita pada September tahun lalu yang menyebabkan para pemimpin mereka disiasat polis.

Shaqirah berkata, bagi mengelakkan tekanan seperti itu, aktivis wanita perlu menguatkan tekanan di ruang Internet.
“Perhimpunan tahun lepas, ada perkara besar jadi dengan menyerang peserta wanita, walaupun kita kena berunding dengan polis tapi di alam maya kita tidak perlu berunding dengan sesiapa.
“Di alam maya kalau kita kena serang dengan patriaki kita bangkit dan pertahankan ruang kita, wanita bangkit,” laungnya yang disambut dengan sorakan peserta perhimpunan.
Shaqirah merujuk Perhimpunan Wanita Bantah Politik Toksik pada September lalu yang menyebabkan isteri kepada bekas perdana menteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali disoal siasat polis atas ucapannya.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, Shaqirah berpuas hati kerana lebih ramai golongan wanita menyertai perhimpunan anjuran Jawatankuasa Hari Wanita Sedunia pada tahun ini.
“Ini merupakan pertama kali perhimpunan yang mengabungkan NGO dan badan organisasi bebas yang lain.
“Tahun lepas kita ada buat juga tapi tidak seramai ini, kali ini memang penyertaan agak ramai.”
Badan pertubuhan bukan kerajaan organisasi bebas yang turut serta dalam jawatankuasa tersebut adalah Empower Women, Sisters In Islam, Malaysian Progresif.
Guru tadika ini percaya, peningkatan kehadiran peserta ini dicetuskan oleh gerakan aktivisme sedunia yang semakin mendapat perhatian.
“Tahun ini lebih ramai, kerana momentum daripada luar negara sendiri, seperti perhimpunan wanita di Amerika Syarikat, di Sepanyol dan Jakarta kita jangan lupa.
“Dan di Malaysia takkanlah kita mahu ketinggalan dan tidak buat,” katanya lagi.
Shaqirah berkata perhimpunan tersebut bukan saja memperjuangkan hak wanita bahkan kaum tertindas seperti golongan lesbian, biseksual, gay dan transeksual (LGBT).
Aktivis dari golongan LGBT hadir di perhimpunan tersebut dengan membawa lambang jalur pelangi dan juga poster dengan slogan seperti “Bantah pemimpin seksis, rasis dan trans/ homofobik”.
“Kita juga memperjuangkan isu pekerja migran di mana tahun depan kita mahu membawa mereka menyertai perhimpunan ini,” katanya lagi. – 10 Mac, 2018.
Komen