Ikut saja arahan RoS kalau tiada salah, kata Zahid kepada Bersatu


Muzliza Mustafa

Timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada mesyuarat agung Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang diadakan di Cheras, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight Kamal Ariffin, 10 Mac, 2018.

BERSATU sepatutnya menyerahkan maklumat yang diminta oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) sekiranya tidak mahu dibubarkan, kata timbalan perdana menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

“Saya rasa PPBM (Bersatu) perlu serahkan semuanya daripada mesyuarat cawangan mereka, hingga ke mesyuarat agung tahunan. 

“Saya tidak mahu campur tangan urusan RoS tetapi saya rasa PPBM perlu mengikut perlembagaannya dan mematuhi Akta Pendaftar Pertubuhan 1956. RoS hanya menjalankan tugas mereka,” katanya. 

RoS memberi tempoh 30 hari kepada Bersatu untuk memberi maklum balas berhubung pemintaan mereka untuk menyerahan dokumen yang diperlukan - atau berdepan dengan pembubaran. 

Terdahulu, dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, presiden Bersatu Dr Mahathir Mohamad menyelar RoS kerana secara jelas menunjukkan ia berat sebelah dalam layanannya terhadap Umno berbanding parti pembangkang. 

Dalam kenyataannya semalam, RoS berkata pada 28 Februari lalu, pihaknya telah menghantar notis kepada setiausaha agung Bersatu Shahruddin Md Salleh berikutan aduan oleh ahli parti itu. Notis berkenaan meminta data daripada dokumen bagi melengkapkan siasatannya.

RoS dalam kenyataannya semalam mengarahkan Bersatu untuk menyerahkan minit mesyuarat dan dokumen kewangan parti, termasuk di peringkat cawangan dan bahagian. 

Ketua pengarahnya Surayati Ibrahim berkata walaupun Akta Pertubuhan 1966 menetapkan tempoh tujuh hari untuk memberi maklum balas, organisasi itu melanjutkan tarikh akhir kepada 30 hari. 

Bersatu akan berdepan dengan pembubaran parti sekiranya gagal mematuhi arahan itu. 

Bersatu yang ditubuhkan pada 2016, berdepan pelbagai masalah dengan RoS sejak tahun lalu terutamanya berhubung mesyuarat agung tahunan parti yang diadakan pada Disember. 

Bulan lalu, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa perlembagaan parti itu menetapkan bahagian hanya perlu mengadakan mesyuarat agung tahunan setahun selepas ditubuhkan. 

Bersatu merupakan salah satu perti komponen dalam Pakatan Harapan. 

RoS masih belum meluluskan pendaftaran PH kerana masih menjalankan siasatan terhadap Bersatu.

“RoS telah menerima permohonan untuk pendaftaran daripada PH dan juga laporan berkaitan parti komponennya, DAP dan Bersatu.

“RoS masih menjalankan siasatan terhadap pelbagai aduan yang diterima mengenai Bersatu bagi memastikan mesyuarat agung tahunan parti itu yang diadakan pada 30 Disember, 2017 dijalankan selaras dengan perlembagaan parti,” kata Kementerian Daam Negeri dalam jawapan bertulis dua hari lalu.

Jawapan bertulis itu dibuat bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) di Parlimen, yang bertanya kepada kementerian untuk menyatakan sama ada terdapat kriteria tambahan yang dikenakan untuk pendaftaran PH.

Pilihan raya umum perlu diadakan sebelum Ogos dan PH merancang untuk menggunakan satu logo kepada semua parti komponennya - Bersatu, DAP, PKR dan Amanah- daripada salah satu daripada parti itu berikutan logo pakatan berkenaan tidak diterima. 

Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad menyelar RoS, dan mendakwa pendaftar pertubuhan itu sengaja menangguhkan pendaftaran untuk menyukarkan kempen PH. – 10 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen