KEPUTUSAN Putrajaya menaikkan tarif elektrik akan memberi kesan besar terhadap pertumbuhan ekonomi dan inflasi, kata Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom).
Pengerusinya Ong Chin Seong berkata dengan surcaj tarif elektrik yang lebih tinggi berkuat kuasa 1 Januari, kesan penampan langkah kerajaan terhadap harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas.
“Kesan daripada langkah kenaikan surcaj sebegitu pastinya tidak tepat pada masanya memandangkan negara sedang berhadapan kesan berkembar peningkatan inflasi dan kelemahan ringgit,” katanya dalam satu kenyataan.
Ong berkata ketika negara sedang bangkit daripada pandemik, surcaj itu menambah beban kepada perniagaan untuk terus bertahan.
Beliau berkata ia meningkatkan kos operasi kepada perniagaan dan impak akhirnya akan pergi kepada pengguna akhir yang menyebabkan kenaikan harga secara keseluruhan.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan tiada rancangan untuk menaikkan tarif elektrik untuk pengguna domestik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pertanian dan pengeluar makanan.
Sebaliknya, kenaikan tarif elektrik hanya untuk syarikat multinasional (MNC) dan syarikat gergasi yang mengaut keuntungan besar.
Ong berkata dianggarkan pengguna voltan sederhana dan tinggi boleh menjangkakan peningkatan kira-kira 40% dalam caj elektrik susulan peningkatan ICPT (Imbalance Cost Pass-Through).
“Bagi pengguna tenaga yang lebih banyak seperti pengendali pusat data atau pembekal perkhidmatan awan, ini adalah kesan yang ketara kepada perbelanjaan operasi mereka.
“Mekanisme ICPT digunakan untuk menampung pergerakan harga bahan api global. Tarif elektrik dikira sebagai: (kWj x kadar Tarif tetap C, D, E) + (kWj x kadar ICPT) + (permintaan maksimum kWj) + 1.6 % KWTBB.”
Beliau menambah kenaikan 5.4 kali ganda kadar ICPT daripada kadar sekarang RM0.037/kWj kepada RM0.20/kWj akan menyebabkan peningkatan kira-kira 40% bagi kos elektrik keseluruhan. – 6 Januari, 2023.
Berita penuh di sini
Komen