PENGURUSAN pekerja asing di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) diharap akan mempercepat dan melancarkan proses pengambilan serta menjimatkan kos, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Presidennya Syed Hussain Syed Husman dalam satu kenyataan berkata pengumuman kerajaan semalam perlu dilaksanakan segera bagi memudahkan para majikan.
Menyambut baik langkah yang diumumkan Menterinya Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail itu, Syed Hussain berkata ini akan mempercepatkan pemulihan perniagaan, sekali gus mencapai sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 4% dan 5% tahun ini.
Beliau mengulas pengumuman Saifuddin semalam yang berkata proses pengambilan pekerja asing di Malaysia kini akan diterajui oleh KDN.
Pihak berkepentingan seperti majikan, industri, persatuan dan pekerja asing katanya tidak perlu bimbang dengan perubahan dasar ini yang dijangka bermula pada 15 Januari.
“Hal ini kerana penjajaran fungsi ini tidak akan menjejaskan tatacara dan carta alir permohonan penggajian pekerja asing sedia ada, memandangkan fokus kepada penjajaran kepada tatakelola pengurusan pekerja asing.
“Kita harap (penjajaran) ini akan membuatkan proses pengambilan pekerja asing dilaksanakan kurang 30 hari. Kita lihat ruang untuk tempoh itu dipendekkan,” katanya pada sidang media.
Saifuddin berkata KDNK boleh meningkat sehingga 1% pada suku pertama tahun ini jika pengambilan pekerja asing dipercepatkan. – 6 Januari 2023.
Komen