BR1M 'bersasar' terus jadi cabaran utama Pakatan, kata penganalisis


Bede Hong

Manifesto Pakatan Harapan yang didedahkan Rabu lalu mengekalkan BR1M, tindakan yang dianggap kerana pengaruh popular skim itu. Manifesto itu menyatakan ia akan menambah baik program itu, sesuatu yang menurut penganalisis satu cabaran besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2018.

JANJI Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan diperkemaskan bukanlah tugas mudah kerana proses menentukan kelayakan penerima dan memastikan ia diedar secara berkesan akan terus jadi cabaran utama, kata penganalisis.

Dalam manifesto setebal 200 muka surat- dinamakan Buku Harapan- dikeluarkan Rabu lepas, PH berjanji akan mengekalkan BR1M tetapi dalam “skim bantuan kewangan bersasar” yang baru dengan model pemberian yang lebih “adil”.

PH mencadangkan agensi baru akan ditugaskan untuk melaksanakan bantuan itu, yang akan memberi keutamaan kepada penerima yang layak di kawasan pendalaman terutama sekali di Kedah, Kelantan, Sabah serta peneroka Felda dan Felcra.

Skim itu kemudian akan dikembangkan kepada kumpulan miskin tegar di negeri lain.

“Pelaksanaan skim ini akan memerlukan penambahbaikan yang signifikan terhadap pangkalan data dan maklumat yang disimpan oleh kerajaan,” ulas manifesto itu.

Pada masa sekarang, pemohon BR1M perlu membuat permohonan secara dalam talian atau di pejabat daerah terdekat, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN dipertanggungjawabkan untuk menyemak permohonan dengan rekod cukai pendapatan pemohon.

Penganalisis politik, Hisommudin Bakar mengatakan yang keputusan PH mengekalkan BR1M menunjukkan populariti skim itu.

“Pengekalan BR1M oleh Pakatan menunjukkan kesan mendalam program ini kepada rakyat dan sukarnya membatalkan dasar ini,” katanya.

Bagaimanapun, isu pengurusan data bagi memastikan pemberian yang lebih adil akan kekal menjadi cabaran kerajaan baru.

“Ketepatan pengedaran subsidi tunai memerlukan semua agensi kerajaan berkongsi maklumat bagi memastikan hanya penerima yang layak menerimanya,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre itu.

Tahun ini, bantuan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima.

Sebelum ini, BR1M diedarkan di tempat awam, sekolah, pejabat daerah, bank terlibat dan kadang kala di program anjuran Barisan Nasional.

Dalam semua situasi, pemberian bantuan tunai terbukti sukar dilakukan kepada kumpulan miskin luar bandar.

Hisommudin turut menjelaskan yang penerima warga emas juga mungkin berdepan masalah membuka akaun bank atau pergi ke bandar atau pekan yang jauh bagi memohon bantuan.

Kelemahan lain yang boleh dibaiki Pakatan adalah menyampaikan bantuan tepat pada masanya.

Sejak diperkenalkan pada 2012, sudah RM26.2 bilion dibelanjakan untuk BR1M, membuktikan program itu disukai rakyat sehingga memaksa Pakatan Harapan mengekalkannya dalam manifesto. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2018.

Faedah politik hasil BR1M

Manifesto PH turut menyatakan yang penerima yang layak akan terus mendapat bantuan dan proses pembayaran akan bebas daripada diskriminasi atau pengaruh politik kepartian.

Hisommudin mengatakan memastikan Pakatan tidak mendapat kelebihan politik hasil skim itu dialu-alukan, kerana “ia akan memastikan semua orang, tanpa mengira latar belakang politik, akan menerima bantuan dan proses itu tidak disalah guna.”

“Masalah yang mungkin wujud dalam kaedah ini adalah kaedah pemberian dilaksanakan. Dahulu, isu terbesar adalah penerima terpaksa berkumpul mendengar ceramah oleh kerajaan dan ahli politik, dan beratur panjang sebelum terima bantuan,” katanya.

“Mempolitikkan bantuan memberikan kelebihan kepada kerajaan pemerintah, menaikkan sokongan menerusi program BR1M.”

RM26.2 bilion sudah diberikan sejak BR1M diperkenalkan pada 2012.

Program itu memberikan bantuan kewangan terus kepada isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan menerusi baucar tunai bernilai RM1,200 yang dibuat sebanyak tiga kali bayaran.

Isi rumah dengan pendapatan bawah RM4,000 akan menerima RM900. Orang bujang atas usia 21 tahun yang memperolehi RM2,000 sebulan pula akan menerima bayaran sebanyak RM450. Bagi kedua-dua golongan ini, bayaran hanya dibuat sekali setahun.

BR1M dirangka di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), sebuah inisiatif Perdana Menteri Najib Razak menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Program itu dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri. – 10 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen