SEORANG lelaki China yang melarikan diri dari kemudahan kuarantin warga asing dua hari lalu ditahan di Seoul pada Khamis, menurut polis.
Lelaki itu disahkan positif Covid-19 semasa memasuki Korea Selatan dan polis menahan lelaki berusia 41 tahun itu di sebuah hotel di Seoul pada 12.55 tengah hari pada Khamis.
Warga China itu enggan berada di hotel yang ditetapkan pihak berkuasa kesihatan sebagai kemudahan kuarantin sementara bagi warga asing yang terketak di Incheon, sebelum dia didapati hilang pada 10.04 malam Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.
Dia disahkan positif selepas menjalani ujian PCR di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.
Mulai Isnin, semua ketibaan dari China diwajibkan menjalani ujian PCR pada hari pertama ketibaan dan mereka yang disahkan positif Covid-19 wajib menjalani kuarantin selama seminggu.
Rakaman TV litar tertutup menunjukkan lelaki itu kali terakhir dilihat di sebuah pasar raya yang terletak kira-kira 300 meter dari hotel di Incheon pada Rabu.
Polis akan menyiasat punca dia melarikan diri dan sejarah perjalanan ketika berada di Seoul. – Bernama, 5 Januari, 2023.
Komen