KETUA Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini membuat laporan polis mendesak siasatan terhadap dakwaan Sarawak Report berhubung peguam terkemuka Muhammad Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta daripada akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib Razak.
Portal berita itu mendakwa Shafee menerima wang itu sebelum perbicaraan kes liwat ketua pembangkang Anwar Ibrahim.
Syed Saddiq menggesa rakyat Malaysia turut membuat laporan polis supaya siasatan boleh dimulakan bagi menjelaskan syak wasangka dunia dan keraguan terhadap kebebasan badan kehakiman Malaysia.
Beliau membuat laporan polis di ibu pejabat polis Shah Alam hari ini.
Katanya bayaran dibuat daripada akaun peribadi Najib, akaun sama di mana SRC International, anak syarikat 1MDB “secara tidak sengaja menyalurkan wang”, ialah satu kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Prosedur Jenayah.
Kanun itu menyatakan pendakwa raya bekerja bagi pihak kerajaan untuk mengendalikan pendakwaan jenayah atau inkuiri akan dibayar menggunakan wang awam dibenarkan oleh menteri kewangan.
“Tuduhan menyatakan wang itu daripada wang perdana menteri sendiri mencemar badan kehakiman kerajaan kita kerana wujud konflik langsung antara perdana menteri dan ketua pembangkang.
“Bayaran seumpama itu membangkitkan persoalan dalam kalangan masyarakat, kenapa perdana menteri berminat terhadap kes itu, terutama dengan pengetahuan dengan memenjarakan ketua pembangkang, akan menyebabkan perpecahan dalam parti pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, tindakan itu sama seperti menghina mahkamah kerana pendakwa raya dibayar oleh parti tidak dapat bersikap adil dan sempurna dalam membantu mahkamah mencapai keadilan.
“Kerja pendakwa raya ialah bukan memasukkan orang dalam penjara tetapi membantu mahkamah mencari keadilan, dan elemen wang daripada duit perdana menteri membawa keraguan terhadap kemampuan pendakwa raya,” kata Syed Saddiq.
Pada Mac 2015, Astro Awani melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri memberitahu Parlimen yang Shafee menerima fi RM1,000 sebagai ketua pendakwa raya dalam perbicaraan kes liwat Anwar.
Nancy berkata demikian ketika menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri).
Er mahu tahu berapa jumlah bayaran kepada Shafee sebagai ketua pendakwa raya dalam kes yang didengar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan itu.
Nancy memberitahu Dewan Rakyat yang Shafee tidak meminta bayaran untuk perkhidmatannya tetapi persetujuan dicapai bagi bayaran itu.
“Beliau tidak meminta bayaran untuk perkhidmatannya tetapi kami mahu telus dan selepas memberikan terma rujukan, kami bersetuju dengan bayaran berkenaan,” katanya.
Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. – 2 Jun, 2017.
Komen