Putrajaya ambil alih projek kapal peronda luar pesisir, suntik RM152 juta


Ravin Palanisamy

Tiga OPV yang sepatutnya diserahkan kepada APMM pada 2020, masih dalam pembinaan, menimbulkan persoalan mengenai projek itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2023.

PUTRAJAYA akan mengambil alih pengurusan projek kapal peronda luar pesisir (OPV)  yang diuruskan oleh bekas anak syarikat Tabung Haji, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata projek itu kini akan diselia oleh Kementerian Kewangan dan kerajaan akan menyuntik RM152.6 juta lagi bagi memastikan projek itu siap.

“Projek OPV yang pernah diuruskan oleh Tabung Haji Destini Sdn Bhd diambil alih oleh Kementerian Kewangan selepas mengesan masalah besar.

“Projek itu juga memerlukan satu lagi suntikan pinjaman sebanyak RM152.6 juta untuk memastikan ia siap. Pinjaman sudah disediakan,” kata Anwar pada sidang media di Putrajaya selepas mesyuarat Kabinet.

Anwar berkata OPV pertama dijangka siap tahun ini.

Tahun lepas, dilaporkan tiga OPV yang sepatutnya diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2020, masih dalam pembinaan, menimbulkan persoalan mengenai projek itu.

Sementara itu, Anwar menggesa semua pihak berkuasa berkaitan untuk terus menyiasat pemberian kontrak OPV sebelum ini.

Beliau berkata, tiada siapa yang patut terlepas daripada tindakan sedemikian, jika terbukti bersalah.

“Kita minta semua agensi penguatkuasa meneruskan siasatan berhubung urusan perolehan sama ada melibatkan KDN atau Kementerian Pertahanan.

“Oleh itu, dua tindakan di sini - pertama, mesti menyelamatkan dan menyiapkan OPV mengikut jadual sekarang dan kedua tidak melepaskan mereka yang telah menyalahgunakan kuasa mereka dengan mendapat manfaat daripada projek ini,” kata Anwar.

Pada 27 Oktober 2016, TH Heavy Engineering Bhd (THHE) memeterai perjanjian usaha sama dengan Destini Bhd untuk melaksanakan kontrak tersebut.

Pada 18 Januari 2017, syarikat JV, THHE Destini Sdn Bhd, telah dianugerahkan kontrak untuk pembekalan, penghantaran, ujian dan pentauliahan tiga OPV, lengkap dengan pemasangan dan aksesori, untuk APMM dengan jumlah kontrak sebanyak RM738.9 juta. Tempoh kontrak ialah 42 bulan.

Sebelum ini, bekas ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasat penghantaran OPV yang lewat, dengan mendakwa terdapat tanda-tanda salah urus kewangan dalam projek bernilai RM738.9 juta itu.

Mujahid berkata siasatan mesti disegerakan bagi memastikan keselamatan perairan negara.

Beliau turut mempersoalkan kerajaan untuk memberikan kontrak melalui rundingan terus kepada THHE, yang tidak mempunyai pengalaman dalam membina kapal.– 4 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen