Sabah dan Sarawak tentukan kelulusan projek di bawah RM50 juta, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika bercakap pada sidang media yang disiarkan menerusi televisyen selepas mesyuarat kabinet mingguan hari ini.– Gambar Facebook, 4 Januari, 2023.

SABAH dan Sarawak dapat membuat keputusan berhubung projek di bawah RM50 juta tanpa menunggu kelulusan daripada Putrajaya, kata Anwar Ibrahim hari ini.

Perdana Menteri, dalam sidang media yang disiarkan menerusi televisyen selepas mesyuarat kabinet mingguan, berkata ini adalah antara keputusan yang dipersetujui sebagai sebahagian daripada keputusan kerajaan perpaduan untuk memperkasakan kedua-dua negeri seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anwar juga menyatakan bahawa terdapat beberapa kelewatan pelaksanaan beberapa projek di kedua-dua negeri itu disebabkan oleh birokrasi walaupun sejumlah besar dana diperuntukkan.

Beliau menambah bahawa beliau akan mempengerusikan mesyuarat di Kuching, Sarawak mengenai MA63, dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

“Walaupun terdapat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sabah dan Sarawak, mereka terpaksa bergantung kepada Putrajaya untuk keputusan muktamad.

“Walaupun sejumlah besar peruntukan diberikan kepada negeri-negeri Borneo, ia tidak digunakan sepenuhnya kerana birokrasi.

“Oleh itu, kita kini telah memutuskan bahawa mana-mana projek infrastruktur di bawah RM50 juta boleh dilaksanakan oleh Sabah dan Sarawak selagi ia mematuhi peraturan kewangan yang sepatutnya.

“Jadi, keputusan boleh dibuat di Kuching atau Kota Kinabalu tanpa membuang masa seperti dahulu,” kata Anwar pada sidang media di Putrajaya hari ini selepas mesyuarat kabinet.

Anwar juga berkata mereka juga akan mengkaji semula pemberian khas yang layak untuk Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan.

“Sabah dan Sarawak masing-masing diberi RM16 juta dan RM25 juta pada awalnya,” kata Anwar.

“Ia perlu disemak setiap lima tahun tetapi ia tidak dilakukan tetapi saya di sini untuk memulihkannya sekarang.

“Kita perlu menyemaknya dan memastikan terdapat pertambahan yang sewajarnya dalam peruntukan tersebut,” tambahnya.– 4 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen