JURULATIH yang menampar dua atlet remaja masih akan disiasat walaupun sudah meminta maaf dan salah seorang ibu bapa memaafkannya, kata Hannah Yeoh.
Menteri belia dan sukan itu berkata kementerian akan menjalankan siasatan bebas berhubung perkara itu.
“Ibu bapa dan exco kerajaan negeri telah bersuara tetapi kementerian akan meneruskan siasatan kami secara bebas kerana ini bukan mengenai seorang jurulatih atau dua pemain itu tetapi contoh yang akan kita tunjukkan untuk generasi akan datang dalam sukan.
“Saya dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sepakat dalam perkara ini,” kata Yeoh di Twitter.
Dalam klip video, yang tular di media sosial, seorang jurulatih dilihat menampar dua pemain perempuan semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja U14 Malaysia 2022 di Johor bulan lepas, mengundang kemarahan Yeoh.
Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) berkata jurulatih yang didakwa menampar dua pemain remaja perempuan digantung daripada terlibat semua aktiviti bola tampar negara sehingga siasatan selesai.
Mava juga mengumumkan akan menubuhkan badan siasatan untuk meneliti kejadian itu dengan segera dan menghubungi pihak berkaitan untuk tujuan itu.
Semalam, bapa kepada salah seorang pelajar remaja yang ditampar berkata sudah memaafkan guru berkenaan dan berharap tiada tindakan tatatertib dikenakan ke atasnya.
Exco Negeri Shanmugam sepatutnya bertemu jurulatih, pemain, ibu bapa mereka serta wakil Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bola Tampar Melaka hari ini. – 4 Januari, 2023.
Komen