AUSTRIA akan mula memantau air buangan pesawat dari China dan di tempat tarikan pelancong China ketika Eropah mempertimbangkan sekatan dari negara itu, kata kerajaan pada Selasa.
Memandangkan Beijing memutuskan untuk menarik balik dasar “sifar Covid”, Kesatuan Eropah (EU) bimbang kemasukan mendadak penumpang dari China boleh membawa varian Covid yang mungkin tidak berkesan dengan vaksin semasa.
“Mulai minggu depan, Austria akan memeriksa sampel air buangan pesawat dari China,” kata kementerian kesihatan Austria dalam satu kenyataan.
Ia termasuk air buangan daripada loji kumbahan di perkampungan indah Hallstatt—destinasi pelancongan terkenal China—juga akan dianalisis.
Ini adalah tambahan kepada air buangan di bandar Vienna dan Salzburg, yang sudah pun dipantau sebagai sebahagian daripada program kebangsaan yang dilancarkan pada awal tahun lalu.
“Dengan ini, beberapa tempat yang kerap dikunjungi pelancong dari China kerap diperiksa,” kata kementerian itu.
“Ini memungkinkan untuk menemui varian virus baharu, walaupun pelawat dari China belum memasuki negara itu dengan penerbangan terus.”
Suruhanjaya Eropah berkata pada Selasa “majoriti besar” daripada 27 negara anggota EU mahu penumpang yang datang dari China diuji secara sistematik untuk Covid-19 sebelum berlepas.
Cadangan konsensus itu dibuat susulan mesyuarat pegawai kementerian kesihatan EU yang diadakan pada Selasa di Brussels.
Mesyuarat krisis yang akan diadakan pada Rabu mengenai isu itu akan memutuskan langkah yang diselaraskan untuk digunakan di seluruh blok.
Pesuruhjaya Kesihatan EU Stella Kyriakides berkata pegawai juga bersetuju mengesyorkan pemantauan lebih ketat air buangan dari penerbangan dan di lapangan terbang untuk mengesan Covid-19, dan bagi negara anggota untuk meningkatkan pengawasan. – AFP, 4 Januari, 2023.
Komen