Kerana balak, sokongan penyokong setia BN di Gua Musang 'tumbang'


Sheridan Mahavera

Pembalakan berleluasa yang berlaku di Gua Musang menjejaskan kehidupan Orang Asli. Komuniti terpinggir dan termiskin negara itu kini mula bersuara menuntut hak mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Mac, 2018.

MEREKA adalah antara rakyat termiskin dan paling terabai di Malaysia tetapi setiap kali hari mengundi berlaku Orang Asli Gua Musang dilayan seperti raja.

“Hari itu kami dapat pakaian, makanan percuma dan duit poket. Mereka bawa kereta untuk angkut kami ke pusat pengundian,” kata Mustafa Along menggambarkan bagaimana penduduk kampung itu dilayan oleh aktivis Barisan Nasional.

“Di kampung pula, mereka adakan pertandingan hari sukan untuk semua kanak-kanak dengan pelbagai hadiah,” kata Mustafa yang berusia 31 tahun itu daripada kaum Temiar di Kuala Betis yang terletak di sempadan hutan dara Gua Musang.

Layanan inilah yang dapat memastikan Orang Asli Gua Musang menjadi penyokong setia BN dan sebab mengapa Tengku Razaleigh Hamzah terpilih sebagai ahli Parlimen kawasan itu sejak 1974.

Bagaimanapun, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), masyarakat di situ mendakwa mereka sudah berpatah arang dengan BN yang turut mengawal tiga kerusi negeri di Gua Musang; Galas, Nenggeri dan Paloh.

“Ku Li (nama gelaran Tengku Razaleigh) tidak pernah sekalipun melawat kami semasa banjir besar (pada 2014),” kata Angah Anjang ketika ditemui di Kuala Betis.

Mereka juga mendakwa Ku Li tidak pernah memberi sokongan untuk menyelesaikan masalah terbesar dihadapi Orang Asli iaitu pembalakan di hutan Gua Musang yang menjejaskan kehidupan mereka dan membuatkan kemiskinan mereka makin parah.

Mustafa Along, ahli jawatankuasa Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan mengatakan selepas banjir besar melanda Kelantan pada 2014, mereka sudah berpatah arang dengan BN dan kini sedang mempertimbangkan mengubah undi kepada pihak lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Mac, 2018.

Kaum Temiar di Gua Musang sudah melakukan kepungan bagi menghalang pembalak memasuki kawasan hutan sejak 2012. Tetapi, sekalipun Ku Li tidak pernah duduk berbincang dengan pemimpin masyarakat itu tentang masalah pembalakan, kata Mustafa lagi.

Walaupun selepas 41 Orang Asli ditahan kerana membina kepungan pada September 2016 yang berlanjutan selama enam bulan.

“Kami akui yang kami sentiasa beri kemenangan kepada Ku Li. Sokongan kami (kepadanya) 100%,” kata Mustafa yang menjelaskan sokongan itu diberikan kerana BN menabur kemewahan kepada mereka semasa tempoh berkempen.

“Tetapi kami sangat kecewa dengannya sekarang. Pada pilihan raya akan datang, sebahagian kami mungkin berubah. Kami tak tahu berapa ramai, mungkin dalam 30 hingga 40%,” kata Mustafa yang juga merupakan ahli jawatankuasa Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan.

Penerimaan Pakatan Harapan

Pada 2013, terdapat 40,176 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gua Musang, daerah paling ceruk di selatan Kelantan bersempadan dengan Pahang dan Taman Negara.

80% pengundi adalah Melayu, Orang Asli pula yang dikategorikan sebagai “Lain-lain” membentuk 12% pengundi, lebih ramai berbanding pengundi Cina sebanyak 7%.

Berdasarkan peratusan itu, terdapat hampir 4,800 pengundi Orang Asli di Gua Musang, separuh daripada majoriti kemenangan Ku Li sebanyak 8,413 pada PRU2013.

Pada PRU2008, Ku Li menang dengan majoriti 4,394 dan beliau mengekalkan kerusi itu pada PRU2004 dengan 6,598 undi majoriti.

Kerusi negeri di Gua Musang iaitu Nenggeri, Paloh dan Galas pula turut dikuasai BN sejak 2004 kerana undi Orang Asli, kata Angah lagi.

PAS tidak mampu meraih sokongan Orang Asli kerana masyarakat itu menyalahkan kerajaan negeri kerana meluluskan semua lesen pembalakan yang memusnahkan hutan mereka.

Kaum Temiar di Gua Musang membina sekatan di tiga kawasan di Kuala Betis sejak Februari lalu, menuntut pembalakan berleluasa yang menjejaskan kehidupan mereka dihentikan serta merta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Mac, 2018.

Tetapi sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada BN berderai selepas banjir besar 2014, kata Mustafa.

“Mereka berjanji menghantar bantuan banjir dan kami tulis surat dan hantar kepada Adun Nenggeri (Mat Yusof Ghani). Tetapi kami tak pernah dapat balasan,” kata Mustafa.

Beberapa politikus yang melawat kepungan dibina Orang Asli adalah daripada DAP dan Amanah, parti dalam Pakatan Harapan (PH).

PH yang turut disertai PKR dan Bersatu kini dalam persediaan melawan BN untuk merampas Kelantan daripada PAS.

“Lim Kit Siang melawat kami,” kata Mustafa merujuk kepada ketua Parlimen DAP itu yang melawat satu daripada tiga kepungan di Kuala Betis yang dibina sejak Februari tahun ini.

Gambar yang dimuat naik Hannah Yeoh menerusi akaun Twitternya menunjukkan Lim ditemani Ketua Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang menentang Ku Li pada PRU2013.

Menurut catatan Twitter Yeoh juga, Lim menerima hampir 200 permohonan menjadi ahli daripada kaum Temiar.

Mustafa bagaimanpun tidak mengesahkan sama ada lawatan PH itu bermakna kaum itu kini terbuka menyokong gabungan pembangkang menakluk negeri itu.

“Kami akan menyiapkan memorandum dan senarai permintaan. Kami mahu pembalakan di Kelantan dihentikan sepenuhnya dan hak kami dihormati. Kami akan hantar kepada semua parti, BN, PAS dan PH. Sesiapa yang berjanji memenuhi permintaan itu akan dapat undi kami.” – 10 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen