WAKIL rakyat di Selangor mendesak tindakan tegas diambil ke atas Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) kerana kegagalan menguruskan krisis gangguan bekalan air di negeri itu dengan baik.
Penduduk di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur berdepan gangguan bekalan air yang dijangka berlaku sehingga esok kerana kerja-kerja pemulihan kecemasan di Tapak Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).
Gangguan itu disebabkan oleh pair air pecah yang mencederakan lima orang di tapak rawatan itu tiga hari lalu.
“Splash gagal menyediakan butiran perkembangan terkini status kerja baik pulih itu menyebabkan lebih banyak gangguan berlaku kepada rutin harian penduduk dan operasi perniagaan,” kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh dalam satu kenyataan.
“Splash yang merupakan pihak konsensi dan pembekal air terawat kepada Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) sepatutnya lebih bersedia untuk menangani kejadian seumpama ini.”
Yeoh, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya mendakwa yang kerajaan negeri terpaksa memberi bantuan kepada Splash dalam kerja baik pulih itu.
Beliau juga mendakwa yang gangguan bekalan air mungkin berterusan sehingga minggu depan sekiranya kerajaan negeri tidak masuk campur.
Syabas, pengendali tapak rawatan air Selangor membeli air terawat daripada Splash di bawah perjanjian konsensi 30 tahun yang dianugerahkan kerajaan Barisan Nasional Selangor pada Januari 2000.
“Gangguan bekalan air ini menyebabkan kesukaran kepada lebih daripada 500,000 isi rumah di Selangor yang sudah menderita selama empat hari dan gangguan masih lagi berlaku,” kata Yeoh.
“Menteri Besar Selangor (Mohamed Azmin Ali) terpaksa meminta campur tangan segera daripada Syabas dan Air Selangor untuk membantu Splash mempercepatkan kerja baik pulih tapak rawatan air mereka,” katanya.
Yeoh mendesak siasatan mendalam ke atas kegagalan Splash bertindak secara profesional dilakukan.
“Darjah kecuaian (jika ada) dan ketidakcekapan dalam urusan tambah baik dan baik pulih yang dilakukan perlu disiasat secara mendalam.
“Pengurusan Splash perlu bertanggungjawab kerana kegagalan mereka bersiap sedia dengan segala kemungkinan termasuklah kecederaan kepada pekerja di tapak rawatan,” katanya.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mengatakan beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Splash bagi meminta pampasan untuk penduduk di kawasan terjejas.
“Seperti mana kata salah seorang penduduk kawasan saya, rakyat tak akan ingat apa yang negeri lakukan sejak lima tahun lalu, tetapi mereka pasti akan ingat kejadian (tiada air) tujuh hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Penduduk desak saya ambil tindakan undang-undang terhadap pihak konsensi. Saya sedang mendapatkan nasihat perundangan dan akan menunggu tindakan kerajaan negeri.
“Kekecohan ini berlaku sebelum pilihan raya umum diadakan dan ia tidak memihak kepada kami (Pakatan Harapan),” kata Santiago.
Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong pula berkata tindakan perlu diambil ke atas Splash kecuali ada bukti kecuaian bukanlah punca kemalangan di tapak rawatan air.
“Apa yang berlaku pada 6 Mac adalah kemalangan yang menyebabkan lima pekerja cedera dan tapak rawatan rosak teruk.
“Saya tak nak salahkan (Splash) semasa situasi kritikal ini.
“Tetapi tapak rawatan air itu masih di bawah Splash dan ia juga kekal selaku pihak konsensi yang tidak dihendaki PAAB untuk menyiapkan proses penstrukturan semula bekalan air,” katanya.
Penstrukturan semula aset air
Rundingan untuk penstrukturan semula aset air di Selangor bermula pada 2008 melibatkan pemindahan atau penjualan aset air milik kerajaan negeri atau entiti berkaitan kepada kerajaan persekutuan.
Santiaga mendakwa kerajaan persekutuan dengan sengaja menangguhkan proses penstukturan semula air Selangor. Kabinet menangguhkan penstrukturan semula yang dijadualkan pada Mei 2017 kepada Oktober 2017 kemudiannya kepada 2018.
“Proses itu sudah siap separuh di Selangor. Penilaian bebas untuk baki aset air dihantar kepada pihak berkuasa persekutuan oleh kerajaan Selangor dan dibentangkan di kabinet pada Mei 2017.
“Kerajaan persekutuan juga melakukan penilaian sendiri terhadap aset air, tetapi mereka masih bertegas mahu kerajaan negeri menyatakan harganya.
“Ini tidak masuk akal memandangkan kerajaan persekutuan yang akan jadi pembeli. Nyata sekali kelebihan ada pada kerajaan persekutuan,” katanya. – 10 Mac, 2018.
Komen