Penjara Mexico diserang, jumlah kematian cecah 17 orang


Sebuah penjara di Mexico diserang pada awal pagi Ahad oleh suspek bersenjata yang menaiki kenderaan berperisai dan melepaskan tembakan ke arah pengawal keselamatan. – Gambar AFP, 3 Januari, 2023.

JUMLAH kematian dalam insiden serangan di penjara Mexico di bandar Ciudad Juarez di utara Chihuahua kini meningkat kepada 17 orang termasuk 10 pengawal penjara, menurut kenyataan pejabat pendakwa raya negeri pada Isnin.

Selain itu, 10 banduan dan tiga pegawai dilaporkan cedera manakala 27 banduan berjaya meloloskan diri, lapor Xinhua.

Serangan itu berlaku pada awal pagi Ahad selepas suspek bersenjata yang menaiki kenderaan berperisai melepaskan tembakan ke arah pengawal keselamatan.  

Menteri Pertahanan Luis Cresencio Sandoval berkata anggota keselamatan turut menemukan senjata, dadah dan lebih 1.7 juta peso (kira-kira AS$87,000) yang disimpan dalam peti besi di dalam sel di penjara berkenaan.

Penyerang itu merupakan ahli kumpulan dikenali Los Mexicles yang mempunyai kaitan dengan Kartel Caborca.

Antara banduan yang melarikan diri termasuk Ernesto Alfredo Pinon atau lebih dikenali sebagai “El Neto”, kata Sandoval.

Penjara itu menempatkan 3,901 banduan. – Bernama, 3 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen