SATU daripada dua varian Covid-19 utama yang didapati merebak dengan pantas di China – BA.5.2 – dikesan di Malaysia sejak awal tahun lepas, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan itu berkata varian BA.5.2 mula dikesan di Malaysia pada Mac 2022, manakala BF.7, salah satu sub-varian Omicron menyebabkan gelombang dahsyat pandemik Covid-19 di China dikesan pada Ogos.
“Bagi varian BA.5.2, kemuncak penularan varian ini adalah sekitar bulan September-Oktober 2022, dan banyak ditemui di negara seperti Afrika Selatan, England, China dan Amerika Syarikat. Ia telah dikesan di Malaysia sejak 16 Mac 2022.
“Bagi varian BF.7 pula, kemuncak penularan adalah pada Oktober 2022 dan ia banyak ditemui di negara seperti Belgium, England, Denmark dan juga China. Ia dikesan di Malaysia sejak 21 Ogos 2022,” kata Noor Hisham dalam catatan di Facebook hari ini.
Noor Hisham menjelaskan daripada tiga kes melibatkan varian BF.7, yang pertama adalah jangkitan tempatan yang dikesan pada 21 Ogos 2022 manakala kes kedua adalah jangkitan import dari Turki yang dikesan pada 6 September, dan ketiga jangkitan tempatan yang dikesan pada 7 Oktober.
Berdasarkan data terkini bertarikh 31 Disember 2022, Noor Hisham berkata sebanyak 4,152 kes dijangkiti BA.5.2, manakala hanya tiga kes melibatkan varian BF.7.
Beliau berkata penyebaran BA.5.2 semakin berkurangan di seluruh dunia.
Semalam, Noor Hisham berkata dua varian utama Covid-19 yang didapati merebak dengan pantas di China dikesan di Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan tiada data melibatkan kes serius atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.7 – 3 Januari, 2023.
Komen