Muhyiddin bukan pembangkang pertama dilarang ke masjid


Amin Iskandar

Banyak insiden kekecohan berlaku apabila ahli Parlimen bukan Islam terutama daripada pembangkang dijemput ke masjid Ramadan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2017.

BEKAS timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin bukan ahli politik pertama daripada kem pembangkang dilarang menggunakan masjid sebagai platform politik. Dan beliau pastinya tidak akan jadi yang terakhir.

Semalam Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin mendedahkan kepada pemberita di Pulau Pinang program berbuka puasa beliau di sebuah masjid di Johor yang sudah menjadi tradisi sejak menjadi ahli Parlimen Pagoh dihalang.

Muhyiddin mungkin terlupa, tetapi semasa beliau masih timbalan perdana menteri pada 2011, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad didakwa kerana memberikan ceramah di sebuah surau di Klang, Selangor.

Pada 19 Januari tahun ini Khalid berdepan risiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen apabila Mahkamah Rendah Syariah Klang memutuskan beliau didenda RM2,900 atau 3 bulan penjara kerana berceramah di sebuah surau enam tahun lalu tanpa tauliah.

Bagaimanapun, Khalid mempertahankan dirinya dan berkata beliau dijemput ke surau itu untuk menceritakan pengalamannya ketika mengunjungi Palestin, dan bukan menyampaikan ceramah agama.

Khalid masih merayu berhubung keputusan Mahkamah Rendah Syariah Klang itu.

Sejak Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Parlimen pada 2008, kita sering mendengar cerita mengenai pemimpin pembangkang dihalang mengadakan program di surau atau masjid, termasuk di negeri yang mereka perintah, terutama di Selangor.

Melalui surat pekeliling bertarikh 22 Jun, 2011 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan tidak berkenan memberikan tauliah kepada ahli politik untuk berceramah di semua surau dan masjid di negeri itu.

Sesiapa yang melanggar arahan itu (menyampai ceramah tanpa tauliah) boleh didakwa di bawah Enakmen Pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Seksyen 119 (1) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Di antara kes melibatkan pemimpin pembangkang di masjid atau surau:

a) Minggu lalu, Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah dari PKR dibantah kerana hadir ke Masjid Annur, Kg Melayu Subang untuk memberikan sumbangan seperti yang sering dilakukan sejak beberapa Ramadan lepas.

Sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gerakan PAMPS mendesak Sivarasa meminta maaf kerana masuk ke dalam masjid walaupun bukan beragama Islam. Kumpulan itu juga membuat laporan polis berhubung isu ini di balai polis Sungai Buloh.

b) Sehari sebelum Ramadan, Jaringan Muslimin Pulau Pinang mengadakan demonstrasi di luar Masjid Simpang Enam di Jalan Macalister menuntut Ketua Menteri Lim Guan Eng dilarang hadir ke majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan di negeri itu.

Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang Mohd Hafiz Noordin berkata sekiranya Lim mahu turut serta dalam acara berbuka puasa, beliau perlu masuk Islam.

Demonstrasi itu berakhir dengan seorang pegawai negeri Pulau Pinang Zaidi Ahmad ditampar apabila cuba mendapatkan penjelasan daripada kumpulan tersebut.

c) Bulan lalu, Penasihat Umum Amanah Ahmad Awang mendedahkan satu demi satu kuliahnya di masjid dan surau di Selangor ditamatkan.

Bekas pemimpin PAS itu berkata salah satu tempat beliau memberikan kuliah di Selangor menamatkan perkhidmatannya walaupun sudah mengajar lebih 20 tahun di situ.

Dalam kerajaan Selangor, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi merupakan exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

Ahmad percaya perkara ini berlaku selepas beliau mempunyai pandangan berbeza dengan parti lamanya PAS yang merupakan salah satu anggota kerajaan negeri Selangor walaupun sudah memutuskan hubungan dengan PKR.

d) Pada Ramadan 2016, tindakan nazir Masjid Al-Muttaqin Selayang Pandang menjemput ahli Parlimen kaum Cina dari PKR masuk ke ruangan solat dipertikaikan.

Insiden ini menyebabkan Sultan Selangor menitahkan nazir masjid di Selayang yang menjemput ahli Parlimen bukan Islam itu masuk ke ruangan utama solat dipecat.

Sultan Sharafuddin mengingatkan masjid tidak sepatutnya digunakan untuk program yang “bertujuan politik”.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Selayang William Leong mempertahankan tindakannya dan berkata, kehadirannya ke majlis tadarus al-Quran dan sumbangan Aidilfitri anjuran kerajaan negeri Selangor adalah atas kapasitinya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Beliau juga menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur politik, sebaliknya hanya mengucapkan “selamat berpuasa” dan “selamat berbuka”.

e) Pada 2010, Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching daripada DAP diserang hebat selepas dikatakan melawat dan menyampaikan ucapan di Surau Al-Huda di Kajang, Selangor.

Akhbar milik Umno Utusan Malaysia menyerang Teo mengatakan ahli Parlimen DAP itu menyampaikan “tazkirah” di surau berkenaan sempena Ramadan.

Teo berkata pada 22 Ogos tahun itu, selaku wakil rakyat kawasan berkenaan, beliau mengunjungi Surau al-Huda dengan tujuan menghulurkan bantuan kewangan sumbangan kerajaan negeri Selangor bagi memperbaiki pagar surau dan juga sumbangan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

“Oleh kerana saya dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor,” katanya. – 2 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen