BN jangka akan menang besar PRU14


The Malaysian Insight

Barisan Nasional diterajui Najib Razak dipercayai akan kembali memperolehi majoriti besar dua pertiga disebabkan kemelut dalaman Pakatan Harapan, pecah undi PAS dan kembalinya pengundi kepada gabungan pemerintah yang berkuasa sejak merdeka itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2018.

BARISAN Nasional (BN) kini yakin akan dapat meraih semula majoriti besar yang hilang dalam dua pilihan raya umum sebelum ini, bersandarkan kepada faktor seperti pertandingan tiga penjuru dan peralihan sokongan pengundi.

Perdana Menteri Najib Razak memberitahu parti anggota BN, tsunami Melayu tidak akan berlaku dan Pakatan Harapan (PH) akan gagal menakluk Putrajaya.

“Tidak akan ada tsunami Melayu. Malah tidak akan ada tsunami Cina, itulah yang beliau beritahu dalam perbincangan pramesyuarat hujung minggu lepas sebelum Parlimen bersidang,” sumber dalaman BN memberitahu The Malaysian Insight.

“Kami akan mendapatkan kembali majoriti dua pertiga tanpa adanya tsunami-tsunami ini,” tambahnya.

BN kini menguasai 134 kerusi parlimen, kurang 14 kerusi untuk mendapatkan majoriti kuat bagi membolehkannya menggubal undang-undang dengan sedikit bantahan.

Peralihan besar-besaran sokongan pengundi Cina kepada pembangkang semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013 menafikan majoriti dua pertiga BN.

PRU2008 menyaksikan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi hilang 91% kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan majoriti besar dalam Parlimen – situasi yang hanya sekali pernah berlaku sebelum itu, pada PRU1969.

Abdullah meletak jawatan pada 2009 untuk memberi laluan kepada Najib yang mengadakan pilihan raya pada 2013 untuk mendapatkan mandat pertamanya.

Beliau bukan sahaja gagal mendapatkan majoriti besar malah kalah undi popular. Ia menimbulkan kekesalan kepada gabungan parti pimpinannya serta mentornya ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Najib menyifatkan peningkatan sokongan pengundi Cina yang mendadak kepada pembangkang itu sebagai “tsunami Cina”.

Dr Mahathir Mohamad yang kini memimpin Pakatan Harapan dijangka berdepan banyak masalah untuk merampas Putrajaya. Kemelut bahagi kerusi, manifesto yang tidak menyakinkan dan 'musuh dalam selimut pembangkang', PAS akan menambah kesengitan PRU14.

Pada 2014, Dr Mahathir menarik sokongan kepada Najib dan kini mempengerusikan PH dan partinya sendiri, Bersatu yang sekarang mungkin dibatalkan pendaftarannya kerana gagal menghantar dokumen berkaitan mesyuarat parti.

Menurut sumber dalaman BN, keadaan gabungan parti pembangkang yang kucar-kacir juga satu lagi petanda bahawa parti kerajaan itu akan menang besar pada PRU14 yang dipercayai akan diadakan hujung April ini. Mandat kerajaan akan berakhir pada Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.

“Realitinya pembangkang sedang kucar-kacir. Mereka bergaduh berebut kerusi dan tidak sepakat tanpa adanya (pendaftaran) pakatan atau logo bersama.

“Dua parti, Bersatu dan Amanah tidak dikenali rakyat. Dan paling utama adalah PAS tidak bersama mereka,” kata pemimpin kanan Umno itu, merujuk kepada parti Islam yang memutuskan membentuk gabungan parti berasingan untuk bertanding dalam PRU14.

PAS dijangka bertanding di 130 kerusi Parlimen bagi memastikan penyokong dan ahlinya tidak mengundi PH atau BN.

Pendek kata, pengundi PAS akan memecahkan undi mereka, tambah sumber itu lagi.

Kajian yang diupah Putrajaya menyatakan, BN boleh menang di sekurang-kurangnya 145 kerusi dan hanya perlu berusaha lebih sedikit untuk memperolehi kembali majoriti besar dua pertiga.

Pengkaji bebas pula menyatakan, BN boleh menang sehingga 155 kerusi, terutamanya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjaya melengkapkan proses persempadanan semula yang dikatakan memberi kelebihan kepada parti pemerintah BN.

“Apa yang pembangkang ada hanyalah Dr Mahathir Mohamad tetapi dia adalah orang yang memecah-belahkan ramai pengundi. Orang Cina tak percayakan dia dan akan beri undi kepada kami atau langsung tak mengundi. Orang Melayu juga tahu hanya BN dan Umno boleh jaga kepentingan mereka,” kata perancang strategi Umno itu kepada The Malaysian Insight.

“BN hanya perlu kerja keras dan pastikan pengundi keluar mengundi. Pembangkang kucar-kacir dan undi mereka akan terpecah,” katanya yang turut menyatakan manifesto PH tidak menyakinkan pengundi. – 10 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • dh menipu besar mestila menang besar

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • Dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada semua parti komponen BN, tidak mustahil jika BN menang besar pada PRU14.Perpecahan dalam parti pembangkang juga menunjukkan bahawa pembangkang tidak mempunyai asas politik yang kukuh.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan