28 daripada 29 sampel air kumbahan dikesan ada virus SARS-CoV-2, kata KP kesihatan


Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan menerima 301 sampel dari 15 lokasi sentinel bagi mewakili setiap negeri di negara ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2023.

SURVELAN persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan yang dilaksanakan sejak Jun hingga 31 Disember tahun lalu merekodkan 96.5% atau 28 daripada 29 sampel dari pintu masuk antarabangsa dikesan mempunyai kehadiran virus SARS-CoV-2 dengan varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu, hasil pengujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) manakala satu lagi sampel masih dalam proses pengujian.

Beliau berkata bagi tempoh sama, MKAK turut menerima sejumlah 301 sampel dari 15 lokasi sentinel bagi mewakili setiap negeri di negara ini.

“288 sampel (95.7 peratus) dikesan kehadiran SARS-CoV-2, yang positif Omicron. Tiga tidak dikesan manakala 10 masih dalam proses pengujian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia menjalankan survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan membabitkan sampel dari pintu masuk antarabangsa dan lokasi sentinel sejak Jun tahun lalu, antara lain bertujuan sebagai survelan sokongan bagi Covid-19 sejajar dengan fasa peralihan ke endemik negara.

Beliau berkata survelan itu bertujuan sebagai amaran awal melalui pengesanan kehadiran virus SARS-CoV-2 dalam sampel air kumbahan, memberi gambaran trend kepekatan virus SARS-CoV-2 dan mengenal pasti varian SARS-CoV-2 yang terdapat dalam komuniti, serta memantau keberkesanan intervensi kawalan Covid-19 secara amnya.

“Bagi lokasi sentinel di setiap negeri, sampel air kumbahan diambil dari loji rawatan kumbahan terpilih oleh pejabat kesihatan daerah. Sebanyak dua atau tiga sampel diambil dari setiap lokasi sentinel setiap bulan, mengikut keperluan. Sampel ini kemudiannya dihantar ke MKAK bagi proses pengujian.

“Bagi sampel dari pintu masuk antarabangsa pula, penilaian risiko dijalankan secara berterusan bagi mengenal pasti negara yang berisiko. Hasil penilaian ini, semua penerbangan dari negara yang dikenal pasti kemudiannya diteliti dengan lebih lanjut oleh pejabat kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, secara amnya semua air kumbahan kapal terbang akan dibawa keluar dari pesawat melalui lori septik pembentung ke kemudahan pelupusan sisa pesawat (AWDF) dan proses ini diselaraskan oleh pihak pengendali darat lapangan terbang.

Selepas penerbangan yang disasarkan dikenal pasti, proses persampelan air kumbahan dijalankan oleh PK KLIA dengan kerjasama pihak lapangan terbang KLIA sebelum air kumbahan ini dilepaskan ke AWDF.

Dr Noor Hisham berkata persampelan air kumbahan dari pesawat dijalankan sebanyak dua kali seminggu.

“Bagi survelan air kumbahan dari pesawat ini, sebanyak satu liter sampel air kumbahan diambil daripada pesawat terpilih,” katanya.

Beliau berkata seiring dengan keadaan semasa, survelan air kumbahan pintu masuk antarabangsa akan turut membabitkan sampel dari China.

Langkah itu akan membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari negara tembok besar itu sebagai antara langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa, katanya. – Bernama, 2 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen