MAHKAMAH Agung India hari ini mengesahkan keputusan kerajaan India enam tahun lalu untuk menarik balik wang kertas 500 dan 1,000 rupee daripada pasaran, lapor media.
Pada 2016, pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi membatalkan nilai laku mata wang itu sebagai usaha melawan rasuah dan penyelewengan, menjadikan hampir 86% wang kertas India yang beredar di pasaran pada masa itu tidak bernilai.
Lima hakim mahkamah agung hari ini dalam dua keputusan berasingan memutuskan penarikan balik nilai laku mata wang itu sah dan tidak melanggar undang-undang.
Antara lain mereka berpendapat penarikan balik itu tidak boleh dibatalkan hanya kerana matlamat pemansuhan mata wang itu tidak tercapai.
Keputusan diberikan terhadap beberapa petisyen yang difailkan berasingan oleh peguam, parti politik, bank koperasi dan individu, antaranya memohon lanjutan tempoh untuk menukar wang kertas yang sudah tidak diterima nilainya.
Langkah Modi sebelumnya dikritik kerana wang gelap yang diseleweng masih boleh masuk semula ke pasaran apabila mereka yang terlibat mengguna pelbagai cara untuk menukarnya kepada mata wang yang sah.
Pengumuman penarikan balik wang kertas itu pada 8 November 2016 mengejutkan banyak pihak, menyebabkan orang ramai menyerbu bank selama beberapa hari berikutnya.
Sementara itu, sesetengah pakar melihat keputusan mahkamah hari ini lebih bersifat akademik kerana penarikan balik mata wang itu sudah tidak lagi memberikan kesan besar kepada pasaran dan ekonomi. – Agensi, 2 Januari, 2023.
Komen