Amaran pada Guan Eng: Kami ikut mana anda ‘buka puasa’


Looi Sue-Chern

Pengerusi Jalinan Muslimin Pulau Pinang Mohamed Hafiz Mohamed Nordin bercakap kepada media ketika “flash mob” bantahan terhadap Lim Guan Eng di depan Masjid Abdul Kadir, Butterworth, Pulau Pinang, petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Jun, 2017.

SEKUMPULAN penunjuk perasaan mengancam untuk berdemonstrasi di masjid di mana Ketua Menteri Lim Guan Eng akan berbuka puasa dengan umat Islam pada Ramadan ini.

Ketua PAS cawangan Jalan Mengkuang Azmi Jaafar berkata Lim tidak ada kena mengena untuk menyertai umat Islam berbuka puasa kerana beliau tidak berpuasa pun.

“Kami beri dia amaran. Jika dia berani buka puasa di mana-mana masjid dalam kawasan Parlimennya – Bagan – kami akan berdemonstrasi depan masjid itu.

“Kami akan minta dia juga berpuasa. Jangan politikkan Islam hanya kerana kepentingan DAP di Pulau Pinang,” katanya ketika mengadakan protes di Masjid Abdul Kader di Butterworth, petang tadi.

Lebih 10 penunjuk perasaan melaungkan Hancur kufar”, “Hidup Islam” dan “Hancur DAP PRU14”.

Ketuanya, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, yang juga pengerusi organisasi kebajikan Islam Jaringan Muslimin Pulau Pinang, berkata kumpulan itu akan terus protes terhadap Lim dan pentadbirannya.

Beliau mendesak umat Islam di Bagan dan Pulau Pinang tidak mengundi Lim dan partinya serta sekutunya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Umat Islam tidak sepatutnya undi mereka kerana kerajaan negeri campur tangan dalam hal ehwal Islam dan menghalang beberapa fatwa,” katanya.

Hafiz mendakwa bekas mufti negeri Hassan Ahmad mengakuinya, dalam kenyataan balas terhadap penafian exco hal ehwal negeri Abdul Malik Abul Kassim terhadap dakwaan itu.

“Kami ada maklumat. Kami sudah banyak kali membawa perkara ini ke atas. Ada campur tangan oleh pentadbiran dalam hal ehwal Islam dan fatwa.”

Hafiz berkata kumpulan itu juga akan terus memberi penjelasan kepada rakyat supaya mereka tahu dan tidak mempercayai Lim serta kerajaan DAP.

Katanya, DAP dan pemimpinnya seperti Lim, yang juga setiausaha agung DAP, membantah hal Islam seperti RUU 355 iaitu rang undang-undang persendirian dibawa Presiden PAS Had Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah).

“Kami tidak ada bidang kuasa untuk menghalang dia menghadiri acara seperti itu tetapi jika dia membantah perkara berkaitan Islam, kenapa dia hendak berbuka dengan orang Islam?

“Bukankah itu mempermainkan amalan Islam, yang termasuk berpuasa? Jika dia hendak datang, dia juga patut berpuasa.”

Hafiz dan kumpulannya menganjurkan bantahan sama selepas solat Jumaat di Masjid Simpang Enam, George Town minggu lalu.

Ketika protes itu, mereka dilaporkan berkata Lim patut memeluk Islam jika hendak berbuka puasa dengan umat Islam. Kenyataan mereka dikritik ramai ahli politik Islam, kebanyakan daripada Pakatan Harapan.

Penunjuk perasaan juga mendakwa kerajaan Pulau Pinang masuk campur dalam hal ehwal Islam serta menghalang fatwa.

Ketika pegawai maklumat Lim, Zaidi Ahmad yang berada di tempat kejadian meminta Hafiz menjelaskan tuduhannya, salah seorang penyokong Hafiz menampar Zaidi.

Hafiz berkata insiden itu tidak dirancang dan penyokongnya diprovokasi.

Dia mendakwa penyokong yang menampar Zaidi tidak tahu dia ialah bekas mejar Tentera Udara Diraja Malaysia.

Zaidi dikenali kerana membuat laporan polis pada PRU lalu berhubung dakwat kekal. Dia dibicarakan di mahkamah tentera kerana bercakap kepada media mengenai laporannya dan dibuang kerja.

“Ada atau tidak insiden tampar hari ini? Itu kerana Zaidi tidak ada di sini. itu maknanya provokasi daripada pihaknya.

“Kami tidak menjangka dia ada di situ. Dia yang datang menarik tangan saya dan cakap meninggi suara,” kata Hafiz. – 2 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen