Polis siasat dakwaan barangan mangsa tragedi Batang Kali dicuri


Tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember lalu mengorbankan 31 nyawa manakala 61 lagi selamat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2023.

POLIS menyiasat dakwaan satu hantaran di laman Facebook terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan barangan milik mangsa tragedi insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan popular di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Suffian Abdullah berkata hantaran itu dipercayai dimuat naik oleh seorang daripada ahli keluarga mangsa tragedi yang berlaku pada 16 Disember lalu.

Beliau berkata hantaran itu mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan kad Touch ‘n Go milik mangsa.

“Hari ini, polis menerima dua laporan berhubung insiden itu pada jam 2.47 petang.

“Satu kertas dibuka bagi menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Justeru, Suffian menasihati masyarakat supaya bertenang dan tidak gusar dengan isu yang tular itu.

Beliau berkata ahli keluarga mangsa juga dinasihat supaya menghubungi polis sekiranya mempunyai isu berkaitan kehilangan barangan milik mangsa.

Orang ramai diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak tepat atau menularkan berita palsu sebaliknya merujuk kepada polis atau pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-6064 1223,” katanya.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada jam 2.46 pagi itu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun. Seramai 61 mangsa dilaporkan terselamat dalam insiden itu. – Bernama, 1 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen