PENUMPANG yang tiba di lapangan terbang Sepanyol dari China akan disaring untuk Covid-19 mulai hari ini susulan ledakan jangkitan virus itu di negara berkenaan, kata pihak berkuasa.
Langkah itu akan kekal sehingga sekurang-kurangnya 15 Februari, kata kementerian kesihatan Sepanyol dalam satu kenyataan.
“Varian baharu yang muncul di China dan tidak terkawal membimbangkan,” kata Menteri Kesihatan Sepanyol Carolina Darias pada sidang akhbar semalam.
Penerbangan pertama dari China yang akan berdepan peraturan baharu itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Madrid pada hari ini jam 6 petang (1700 GMT), kata kenyataan kementerian itu.
Jangkitan koronavirus melonjak di China mengakibatkan kebanjiran pesakit di hospital selepas negara itu menarik semula dasar sifar Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dan mengakibatkan protes di seluruh negara.
Sejumlah negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Korea Selatan dan Malaysia mula mengenakan mengenakan sekatan dan syarat wajib ke atas semua pelawat dari tanah besar China.
Tetapi agensi kesihatan Kesatuan Eropah pada Khamis berkata sekatan sedemikian tidak dibenarkan dalam blok itu.
Darias berkata China bersedia untuk menarik semula sekatan perjalanannya pada 8 Januari, yang mungkin akan menyebabkan peningkatan “ketara” dalam jumlah pelancong ke luar negara.
Pada 2019 kira-kira 700,000 pelancong China mengunjungi Sepanyol, menurut kementerian pelancongan Sepanyol.
Angka itu menurun secara mendadak kepada kira-kira 130,000 pada 2020 dan 30,000 pada 2021, menurut institut perangkaan Sepanyol. – AFP, 31 Disember, 2022.
Komen