Kukuhkan perpaduan untuk Malaysia yang makmur demi rakyat yang sejahtera


TAHUN 2022 melabuhkan tirai dengan pembentukan kerajaan baharu di Malaysia yang diterajui tokoh reformasi ulung dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Kerajaan perpaduan yang dianggotai pelbagai blok parti politik mewakili kepelbagaian agama dan bangsa dalam negara ini menunjukkan iltizam baharu rakyat Malaysia yang mahu membina perpaduan yang lebih kukuh untuk kemakmuran negara tercinta ini.

Sungguhpun Melayu adalah bangsa asal dan golongan majoriti dalam negara ini, namun hak bangsa lain harus dihormati sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan dituntut agama Islam bertunjangkan agenda rahmatan lil a’lamin.

Kenunikan kepelbagaian ini perlu dirangkumkan untuk bersama membina kemajuan negara ini. Setiap bangsa dalam negara ini saling perlu memerlukan, seharusnya apabila kita boleh ke sekolah yang sama, makan di warung yang sama, kita juga boleh berkongsi pentas politik dan teraju kerajaan yang sama.

Suara-suara hasutan membina persepsi negatif api perkauman tidak harus lagi wujud dalam negara ini. Stigma ini jika dibiarkan boleh membangkitkan ketegangan kaum yang akan meruntuhkan perpaduan yang dibina sejak merdeka dan ianya harus ditamatkan. Pembangkang harus bertindak lebih konstruktif dan bukan menjadi gunting dalam lipatan membakar api perkauman memainkan andaian jahat yang tidak wujud.

Pemulihan ekonomi negara adalah harapan utama rakyat hari ini supaya mereka dapat keluar dari belenggu kos sara hidup yang cukup menekan. Hutang negara yang diwarisi dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih tinggi iaitu RM1.07 trilion.

Pengangguran masih di tahap tinggi dengan jumlah 602,000 dan masih ramai kumpulan M40 telah tergelincir ke dalam kumpulan B40. Inflasi masih tinggi pada kadar 4.0 peratus, meskipun sudah menunjukkan trend penurunan. Walaupun ringgit semakin kukuh dengan nilai RM4.40 berbanding dolar AS, namun kebergantungan yang masih tinggi kepada import menyebabkan harga barangan di pasaran tempatan masih tinggi.

Walaupun kerajaan perpaduan kini telah menunjukkan momentum pemulihan ekonomi yang lebih menyakinkan, namun jihad ini masih panjang dan berliku. Oleh itu, kerajaan perpaduan hari ini memerlukan kesungguhan politik (political will) yang cukup tinggi untuk memulihkan ekonomi untuk jangka masa terdekat dan membina lanskap ekonomi yang seimbang dan mampan untuk jangka masa panjang.

Kunci kepada usaha ini adalah kestabilan politik yang hanya boleh dibina dengan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat.

Ayuh rakyat Malaysia, tahun 2023 kita bangkit bersama menolak politik perkauman sempit untuk memberikan ruang yang secukupnya kepada kepimpinan Perdana Menteri 10 Anwar Ibrahim memulihkan ekonomi negara demi memastikan kesejateraan hidup kita bersama.

Laungan reformasi Anwar Ibrahim selama ini adalah untuk membela rakyat dan yakinlah bahawa Malaysia mampu bangkit semula sebagai ‘The Asian Tiger’. Kata-kata inspirasi John F. Kennedy “Ask not what your country can do for you, ask what you can do for your country”. Justeru, rakyat Malaysia harus bersatu dan inilah pengorbanan besar kita buat negara. Jangan biarkan episod hitam langkah sheraton berulang kembali. Selamat Menyambut Tahun 2023. – 31 Disember, 2022.

 

* Faiz Fadzil adalah ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen