Sabah wajibkan ujian Covid-19 untuk pengembara dari China, kata Masidi


Semua pengembara dari China yang ingin masuk ke Sabah wajib menunjukkan keputusan negatif Covid-19 berkuat kuasa Ahad ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2022.

SEMUA pengembara dari China yang ingin masuk ke Sabah wajib menunjukkan keputusan negatif Covid-19 berkuat kuasa Ahad ini (1 Januari), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah itu berkata semua pengunjung dari China perlu mempunyai keputusan negatif dalam ujian sebelum berlepas (Predeparture Test) dalam tempoh 48 jam sebelum dibenarkan masuk ke negeri itu.

“Keputusan ini telah dibuat Kerajaan Sabah,” katanya menerusi kenyataan di Kota Kinabalu malam ini.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 15 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini iaitu bertambah enam kes direkodkan daripada 1,228 sampel ujian berbanding 1,251 ujian semalam. – Bernama, 30 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen