POLITIK Malaysia sedang beralih kepada persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selepas pilihan raya umum yang lalu menunjukkan dua gabungan itu muncul menguasai 70% kerusi Parlimen, kata penganalisis.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PH menang 82 kerusi sementara PN menang 74 kerusi, iaitu bersamaan 156 daripada seluruh 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Barisan Nasional (BN) yang mendominasi sehingga tersingkir daripada kuasa pada 2018 pula hanya menang 30 kerusi, lebih sedikit daripada kerusi yang dimenangi gabungan di Sabah dan Sarawak.
Penganalisis politik Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpendapat persaingan politik antara dua gabungan utama PH dan PN akan membawa kepada kestabilan politik selain persaingan yang sihat.
“Pertembungan satu lawan satu amat bagus. Buat masa sekarang persaingan yang kita lihat adalah antara PN dan PH.
“Selain dapat menstabilkan landskap politik Malaysia ia juga mengurangkan fokus kepada sentimen perkauman dan agama,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali pula melihat kerjasama BN dan PH, seperti yang terbentuk di Putrajaya dan beberapa negeri sekarang, akan lebih menguntungkan kedua-dua gabungan itu.
“Apabila ada kerjasama sudah tentu senarionya cenderung satu lawan satu,” katanya.
Mazlan berpendapat sokongan pengundi terutama di luar bandar dan kawasan majoriti Melayu akan condong kepada PH dan BN sekiranya pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat memenuhi hasrat rakyat dan menyelesaikan isu-isu mereka.
“Dengan sokongan pengundi tetap Umno, kerjasama antara dua gabungan itu nampak kukuh dan berpotensi bersaing dengan PN,” tambahnya.
Awal minggu ini, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Azman Ibrahim membayangkan senario pertembungan PH dan PN, yang boleh dilihat seawal enam pilihan raya negeri yang perlu diadakan sebelum pertengahan tahun depan.
Beliau mengakui perkara itu sensitif kerana pandangan itu juga membayangkan BN terkeluar daripada persaingan politik pilihan raya selepas PRU15.
Mengambil Terengganu sebagai contoh, Azman yang juga Adun Jabi berkata ada kemungkinan dengan kerjasama PH dan BN selepas PRU15, dua gabungan itu akan mengagih-agihkan kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri nanti untuk menghadapi PN.
“Akan ada kerusi yang Umno perlu hadiahkan kepada PH walaupun prestasi PH sejak dari PRU14 dan PRU15 ialah hilang wang deposit.
“Kerusi mana saya tidak tahu, tapi begitulah adat bila berkawan, memberi dan menerima,” tulisnya di Twitter.
__full.jpg)
Tidak dapat elak
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata pertandingan satu lawan satu sudah tidak dapat dielak lagi selepas ini, berdasarkan pengalaman pilihan raya umum yang lalu.
Katanya, selepas PRU15, parti-parti politik yang jelas rugi akibat pertandingan banyak penjuru akan kembali kepada dasar satu lawan satu yang lebih praktikal.
Hisomuddin berpendapat BN misalnya perlu bekerjasama dengan PH dan tidak boleh lagi bertanding sebagai blok ketiga.
“Jika BN ambil pendirian seperti semasa PRU15 mereka akan rugi. Pilihan yang mereka ada ialah mengadakan sinergi kerjasama dengan PH bagi merealisasikan pendekatan satu lawan satu ini.
“Kita boleh lihat sinergi kerjasama ini dalam pilihan raya negeri pada tahun depan atau pilihan raya umum selepas ini,” katanya.
BN masih relevan
Sementara itu, Mazlan percaya BN tidak boleh dipadam begitu saja daripada garis politik parti di Malaysia biarpun pada masa ini PN dan PH lebih unggul.
Beliau tidak mahu memandang rendah kemampuan BN walaupun gabungan sejak dekad 1970-an itu kalah teruk pada dua pilihan raya umum lepas.
“BN kalah dahulu kerana peralihan sokongan, pengundi marah kepada BN terutama golongan tengah ini dan segmen itu beralih kepada PN.
“Tapi BN ini masih ada lagi sokongan pengundi deposit tetap mereka. Sokongan ini tak berubah… sebab itu di Melaka dan Johor mereka boleh menang dengan pengundi tetap mereka semata-mata,” katanya merujuk dua pilihan raya negeri awal tahun ini. – 31 Disember, 2022.
Komen