Kenapa TPM dilayan lebih tinggi berbanding Agong?


SAYA membelek Perlembagaan Persekutuan, tiba-tiba saya dapati perbezaan dalam peruntukan di bawah Artikel 33A.

Bacaannya seperti berikut: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan”.

Jelas sekali dengan hanya didakwa dengan kesalahan sudah dianggap serius hinggakan individu seperti Yang di-Pertuan Agong terhenti fungsi sebagai Agong.

Ia tidak menyebut perlu didapati bersalah terdahulu maka fungsi baginda terhenti. Dengan hanya didakwa sudah jelas perlembagaan menetapkan terhentinya fungsi baginda.

Sekarang bagaimana pula dengan jawatan yang lebih rendah seperti timbalan perdana menteri (TPM). Dia sudah didakwa dengan 40 pertuduhan. Namun dia masih dilantik sebagai TPM dan masih menjawat jawatan itu.

Apakah fungsi TPM lebih tinggi hinggakan dia dilayan lebih tinggi berbanding Yang di-Pertuan Agong?

Ada keperluan bagi reformasi di sini, pada fikiran saya.

Takpalah, saya akan jaga cucu sekarang. Lupakan saja perkara ini. – 30 Disember, 2022.

* Dr Mahathir Mohamad adalah bekas perdana menteri.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen