MALAYSIA perlu mempertimbangkan untuk menangguhkan kebenaran kemasukan pengembara warga China ke negara ini susulan kebangkitan jangkitan Covid-19 yang membimbangkan di China, kata Majlis Pemandu Pelancong Malaysia.
Presidennya, Jimmy Leong Wei Kong berkata Malaysia perlu terlebih dulu memantau situasi di negara lain sebelum membenarkan pelancong dari tanah besar China menjejakkan kaki ke negara ini.
“Saya fikir kita perlu pantau ketibaan pelancong China di negara lain terlebih dulu.
“Saya rasa penangguhan tempoh sebulan atau lebih tidak akan memberi kesan kepada industri kita.
“Kita perlu tangguhkan dan pantau situasi di negar alain, dan jika mereka ok, maka dalam tempoh sebulan kita boleh buka sempadan kita,” katanya yang juga pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Johor kepada The Malaysian Insight.
Bermula 8 Januari, 2023 selepas hampir tiga tahun mengasingkan diri, China akan membuka semula sempadannya dan melonggarkan semua protokol sekatan Covid-19.
Sempadan dengan tanah besar China ditutup berkuatkuasa sejak Februari 2020 ketika negara itu mengekalkan dasar “Sifar Covid-19”.
Menurut laporan, Malaysia antara 10 negara utama yang mahu dikunjungi oleh warga China.
Pemain industri menjangkakan kira-kira sejuta pengembara dari China akan tiba bagi tahun 2023.
Bagaimanapun, dengan kes Covid-19 masih melonjak selain kemunculan varian baharu, tindakan China membuka sempadan menyebabkan kebanyakan negara lain mengambil langkah berjaga-jaga.
Jepun, Amerika Syarikat, Itali, Korea Selatan dan India mengenakan beberapa bentuk syarat untuk pengembara dari China.
Leong berkata Malaysia tidak mampu lagi berdepan lonjakan kes jangkitan dan akhirnya terpaksa melalui satu lagi perintah sekatan pergerakan.
Beliau berkata situasi semasa tidak begitu kondusif untuk menerima kunjungan pelancong China ke Malaysia.
Buat sementara waktu ini, beliau menggesa Kementerian Kesihatan mengeluarkan syarat kemasukan lebih ketat bagi mengelak lonjakan kes jangkitan di Malaysia.
“Saya rasa perlu ada langkah ketat diambil kerajaan sebelum membenarkan pelancong China masuk ke sini kerana kita tidak boleh ambil risiko perkara ini.
“Kerana sebaik saja kita kuatkuasakan, kita tidak boleh semak semula keraja jika pelancong sudah masuk dan jumlah kes melonjak, kita yang susah.
“Kita perlu sangat berhat-hati dengan keadaan ini. Bukannya kita tidak mahu industri ini pulih tetapi kita bimbang pemulihan itu membawa kesan negatif dan menyebabkan kita perlu melalui perintah sekatan pergerakan lagi sekali,” kata Leong.
Malaysia setakat ini tidak menggariskan sebagai syarat kemasukan untuk penumpang dari China.
Pemeriksaan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam juga belum menerima respons berkenaan perkara ini.
Bagaimanapun, New Straits Times hari ini melaporkan KKM dijangka mengumumkan sekatan Covid-19 terhadap pengembara dari China, hari ini sementara laporan The Star menyatakan Malaysia mungkin mengenakan ujian saringan Covid-19 sebelum penerbangan terhadap pelancong tiba dari China.
Semalam, dilaporkan kira-kira 50% penumpang dua pesawat yang tiba di Milan, Itali dari China, didapati positif Covid-19.
Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad turut meluahkan kebimbangan berkenaan isu itu menerusi Twitter.
Beliau bertanya adakah Malaysia bersedia menerima warga China masuk ke tanah Malaysia, melihat kepada krisis kesihatan di China pada masa ini.
“Dengan lebih 50% warga China yang mendarat di lapangan terbang Milan didapati positif Covid-19, amaran antarabangsa dan penyelarasan perlu lebih lantang.
“India, Jepun dan AS mensyaratkan ujian negatif Covid-19 dari China.
“Adakah Malaysia bersedia? Perkara ini tidak boleh diabaikan,” katanya. – 30 Disember, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen