WHO gesa China telus situasi Covid-19


Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu menggesa China supaya lebih bersikap terbuka mengenai situasi pandemik Covid-19 di negara itu. – Gambar EPA, 30 Disember, 2022.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis berkata ia memahami tindakan sekatan dilaksanakan beberapa negara susulan lonjakan Covid-19 di China memandangkan kurangnya maklumat dari Beijing.

Justeru, ketuanya Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa China supaya lebih bersikap terbuka mengenai situasi pandemik di negara itu.

Kenyataan itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) menyertai beberapa negara dalam mengenakan ujian Covid-19 ke atas pelancong dari China selepas Beijing membatalkan sekatan perjalanan asing walaupun terdapat peningkatan kes.

Bagaimanapun, agensi kesihatan Kesatuan Eropah (EU) berkata langkah sedemikian tidak wajar buat masa ini dalam blok itu.

“Bagi membuat penilaian risiko menyeluruh mengenai situasi Covid-19 di China, WHO memerlukan maklumat lebih terperinci,” kata Tedros di Twitter.

“Dengan ketiadaan maklumat yang komprehensif dari China, dapat difahami negara di seluruh dunia bertindak dengan cara yang mereka percaya boleh melindungi penduduk mereka.

“Kami tetap prihatin dengan situasi yang berkembang dan terus menggalakkan China menjejaki virus Covid-19 dan memberi vaksin kepada individu berisiko tinggi.

“Kami terus menawarkan sokongan untuk penjagaan klinikal dan melindungi sistem kesihatannya.”

Hospital di seluruh China dibanjiri ledakan jangkitan berikutan keputusan Beijing menarik balik peraturan ketat yang sebahagian besarnya menghalang virus itu tetapi menjejaskan ekonomi dan mencetuskan bantahan meluas.

China berkata minggu ini, ia akan menamatkan kuarantin mandatori semasa ketibaan, mendorong ramai penduduknya membuat rancangan untuk melancong ke luar negara.

Pada 21 Disember, Tedros memberitahu wartawan yang WHO bimbang tentang peningkatan laporan penyakit teruk di China.

Beliau meminta data terperinci mengenai keterukan penyakit, kemasukan ke hospital dan keperluan rawatan rapi.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China berkata minggu lalu ia tidak akan lagi mengeluarkan angka kematian  harian rasmi Covid-19. – AFP, 30 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen