Pelancongan dijangka meningkat tahun depan, kata pemain industri


Ravin Palanisamy

Pemain industri Malaysia berharap kebanjiran pelancong dari China boleh membantu memulihkan sektor itu yang terjejas teruk disebabkan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2022.

PEMAIN industri pelancongan menjangkakan pendapatan daripada industri itu meningkat tahun depan kerana dunia sudah membuka semula sempadannya, kata Presiden Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis.

Walaupun berdepan kemelesetan ekonomi global dan inflasi, Uzaidi percaya ada hasil positif buat industri serta negara dengan kebanjiran pelancong asing.

“Menurut pakar ekonomi, tahun depan akan menjadi tahun yang mencabar.

“Tetapi apabila ada cabaran, terdapat juga banyak peluang,” kata Uzaidi.

Pelancongan adalah penyumbang ketiga terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, selepas sektor pembuatan dan komoditi.

Industri pelancongan Malaysia menjana RM197.9 bilion daripada “nilai tambah kasar industri pelancongan” (GVATI), menyumbang 12.8% kepada KDNK pada 2021, berbanding 14.1% pada 2020, menurut Jabatan Statistik Malaysia.

Uzaidi berkata, pelancongan satu sektor penting yang boleh membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya benar-benar berharap lebih banyak sumbangan daripada pelancongan kali ini,” kata Uzaidi.

Uzaidi, yang juga presiden Majlis Pelancongan Malaysia, percaya kelonggaran sekatan kemasukan pelancong dari China boleh meningkatkan lagi pelancongan dan ekonomi Malaysia.

Malaysia menawarkan banyak tempat menarik untuk dilawati termasuk beberapa pulau yang menakjubkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2022.

“Kami jangkakan kira-kira 9.2 juta ketibaan pelancong menjelang akhir tahun dan kami menjangkakan lebih sedikit pada tahun hadapan,” kata Uzaidi.

“Apa yang kami harapkan adalah pasaran China. Pasaran China memberikan sokongan yang baik kepada industri pelancongan Malaysia.

“Oleh itu dengan kehadiran pelancong China, ia akan menjadi rangsangan tambahan bagi industri dan ekonomi kita,” katanya.

Kekurangan pelancong China memberi kesan ketara kepada hasil pelancongan Malaysia, kerana China adalah penyumbang ketiga terbesar kepada kehadiran pelancongan Malaysia.

Uzaidi berkata, mereka menjangkakan kira-kira 1 juta pelancong dari China akan datang ke Malaysia selepas kelonggaran sekatan yang lama.

“Kami pernah menerima hampir 2.9 juta pelancong negara China pada 2019, paling ramai, tetapi kali ini, kami menjangkakan kira-kira 1 juta pelancong dari China, angka yang lebih selesa,” katanya.

Sempadan dengan tanah besar China ditutup secara efektif sejak Februari 2020 ketika negara itu mengamalkan dasar “sifar Covid-19”.

Bagaimanapun, mulai 8 Januari 2023, selepas hampir tiga tahun, China akan membuka semula sempadan dan memansuhkan dasar wajib kuarantin selepas ia menurunkan taraf rawatannya terhadap Covid-19.

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia menerusi Tourism Malaysia menyasarkan sekitar 15.6 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan RM120.4 bilion tahun depan. – 30 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen