PEJABAT Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini berkata ‘tweet’ oleh Lim bahawa Pakatan Harapan (PH) akan menutup semua Universiti Teknologi Mara (UiTM), adalah palsu.
Pegawai maklumat Lim, Zaidi Ahmad berkata kenyataan di Twitter yang dikeluarkan semalam bukan datang dari timbalan presiden PH itu.
Zaidi berkata satu laporan polis akan dibuat berhubung perkara tersebut.
“Pagi tadi, rakan memaklumkan saya mengenai tweet palsu melalui WhatsApp.
“Ia bertujuan untuk memfitnah ketua menteri. Kami sedang cuba mengesan orang yang menjadi dalang dan menyebarkannya,” katanya pada sidang akhbar di Komtar hari ini.
Tweet itu berbunyi: “Antara #ManifestoPH yang kita kana lancarkan adalah langkah penjimatan wang rakyat melalui pemansuhan UiTM seluruh negara. Peruntukan itu akan diagihkan sama rata kepada semua University Kerajaan Pakatan Harapan nanti.”
Manifesto PH diumumkan malam tadi. Ia langsung tidak menyebut mengenai UiTM, yang mempunyai kampus di setiap negeri di negara ini. UiTM dibuka untuk pelajar Bumiputera, namun turut mempunyai pelajar antarabangsa.
Lim berkata tweet itu adalah palsu, tetapi janji PH untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) apabila mengambil alih Putrajaya adalah benar.
“Kami akan hapuskan GST, tetapi akan kekalkan bantuan RM1,200 BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia).
“Kami sering ditanya bagaimana kami boleh mengekalkan bayaran BR1M tanpa GST, seperti yang kerajaan Persekutuan sebut sebagai sumber dana bantuan itu.
“Tak perlu GST untuk bayar BR1M. Kami boleh buat seperti yang kami buat di Pulau Pinang,” kata beliau.
Kata Lim, kerajaan pimpinan DAP mampu membuat lebihan bajet tahunan dan memperkenalkan banyak skim bantuan yang memberi manfaat kepada pelbagai kumpulan seperti warga emas, pelajar, ibu tunggal, bayi yang baru lahir dan lain-lain, tanpa GST.
Beliau berkata semuanya dibayar secara tunai tanpa gagal setiap tahun.
“Kami boleh lakukan ini melalui kerajaan yang bersih yang mengamalkan tender terbuka,” kata ketua menteri dua penggal itu. – 9 Mac, 2018.
Komen