AS kenakan syarat ujian negatif Covid-19 pelancong dari China


Mulai 5 Januari, semua penumpang udara dari China perlu menunjukkan ujian negatif Covid-19 kurang dua hari sebelum berlepas dan memberikannya kepada syarikat penerbangan mereka. – Gambar EPA, 29 Disember, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) menetapkan syarat keputusan negatif bagi ujian Covid-19 daripada semua pengembara udara dari China dan berkata Beijing tidak berkongsi maklumat mencukupi mengenai lonjakan kes koronavirus di sana, dedah pegawai kesihatan pada Rabu.

Mulai 5 Januari, semua penumpang udara berusia dua tahun ke atas dari China perlu memperoleh ujian negatif Covid-19 kurang dua hari sebelum berlepas dan memberikannya kepada syarikat penerbangan mereka, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

“CDC mengumumkan langkah ini untuk memperlahankan penyebaran Covid-19 di AS ketika lonjakan kes Covid-19 di Republik Rakyat China memandangkan kekurangan data jujukan epidemiologi dan virus yang mencukupi dan telus dilaporkan daripada PRC,” katanya dalam satu kenyataan.

“Peningkatan pesat dalam penularan Covid-19 di China baru-baru ini meningkatkan potensi varian baharu yang muncul,” kata pegawai kanan kesihatan AS kepada pemberita melalui taklimat telefon.

Bagaimanapun, pegawai itu berkata Beijing hanya menyediakan data terhad mengenai varian yang ada di China ke pangkalan data global, dan ujian serta pelaporan kes baharu juga berkurangan.

“Susulan kekurangan data yang tersedia ini, lebih sukar bagi pegawai kesihatan awam AS untuk mengenal pasti varian baharu yang merebak ke AS,” kata pegawai itu.

Keperluan baharu itu akan dilaksanakan sejurus selepas tengah malam waktu Timur AS pada 5 Januari, atau 0500 GMT.

Keperluan ujian terpakai kepada penumpang udara tanpa mengira kewarganegaraan dan status vaksinasi, dan termasuk individu yang melakukan perjalanan ke AS dari China melalui negara ketiga, serta mereka yang melakukan perjalanan melalui AS ke negara lain.

Pegawai AS berkata mereka terus menawarkan bantuan, termasuk vaksin kepada China untuk membantunya memerangi lonjakan koronavirus baru-baru ini.

“PRC menyatakan secara terbuka mereka menghargai tawaran itu tetapi tidak memerlukan bantuan pada masa ini. Jadi kami akan terus berpegang kepada tawaran kami,” kata pegawai kanan kesihatan AS kedua kepada pemberita dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan. – AFP, 29 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen