MUDA menggugurkan Mutalib Uthman dari jawatannya sebagai pengerusi parti itu di Perak dan menggantung keahliannya selama tiga tahun berkuat kuasa semalam.
Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi yang mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight berkata keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) parti.
“Keputusan mesyuarat JKEP untuk menggantung beliau ini telahpun disampaikan kepada saudara Mutalib Uthman secara verbal pada hari ia diputuskan,” kata Amir.
“Ia hanya menunggu surat rasmi,” kata setiausaha agung parti itu sambil menambah surat rasmi itu akan diberikan tidak lama lagi.
Susulan keputusan CEC Amir berkata Mutalib yang bertanding di Masjid Tanah pada pilihan raya umum baru-baru ini dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp rasmi Muda.
“Langkah pertama yang perlu kami ambil ialah mengeluarkannya daripada kumpulan WhatsApp rasmi, sementara menunggu rayuannya terhadap keputusan yang dibuat oleh CEC,” kata Amir.
Amir berkata keputusan itu dibuat selepas Mutalib menaikkan poster di akaun media sosial peribadinya dan Muda Perak untuk mengumumkan niat bertanding di Tapah pada PRU15.
“Beliau didapati telah meminta akses akaun rasmi Muda Perak dan menukar kata laluan yang menunjukkan niat untuk melakukan sabotaj kepada parti.
“Beliau juga selepas dihubungi menolak untuk menurunkan poster yang telah dinaikkan dan hanya akan menurunkan sekiranya dijanjikan kerusi dalam pilihan raya,” katanya.
Amir berkata tindakan Mutalib memuat naik poster sedemikian tanpa persetujuan parti melanggar peraturan parti khususnya Fasal 5.1(d) patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti dan Fasal 5.1(f) memelihara nama baik dan maruah parti.
Mutalib kemudian bertanding di kerusi parlimen Masjid Tanah di mana beliau tewas kepada penyandangnya Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional.
Amir berkata kerusi Masjid Tanah yang Mutalib tandingi dalam PRU15 sememangnya sedang diusahakan jawatankuasa terlibat sebelum beliau mengeluarkan poster tersebut.
Setiausaha Agung parti itu juga berkata kenyataan mempertahankan diri oleh Mutalib yang berkata beliau sudah bersama Muda sejak hari pertama dan membantu membina parti dan dengan itu layak bertanding dalam pilihan raya umum adalah tidak boleh diterima.
Amir berkata parti itu melantik Devadas Silvaraju sebagai pemangku pengerusi Muda Perak.
Usaha untuk menghubungi Mutalib berhubung perkara ini bagaimanapun gagal.
Sebelum ini semasa PRU15 Mutalib mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Tapah namun Ketua Penerangan Muda Luqman Long menafikan parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen Tapah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mutalib akhirnya menyerahkan kerusi parlimen Tapah kepada PKR dan memohon maaf atas pengumuman awal pencalonannya untuk kerusi itu. – 28 Disember, 2022.
Komen