BANJIR teruk yang melanda Terengganu minggu lalu hanya memberikan kesan yang sedikit dan tidak menjejaskan keseluruhan operasi pelancongan di negeri itu, kata pemain industri.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir Abdul Aziz Abdul Rahman berkata tiada kerosakan teruk yang dialami pengusaha rumah bot biarpun kawasan itu antara yang teruk dilanda banjir.
Bagaimanapun mereka sedikit terjejas kerana ada pelanggan yang membatalkan tempahan atau menunda percutian mereka di Tasik Kenyir.
“Tapi ia tidak memberikan kerugian terlalu besar seperti ketika Covid-19 dulu kerana tempoh banjir yang teruk itu hanya berapa hari saja.
“Kebanyakan pelanggan pula menunda tarikh percutian mereka hingga ke tarikh sesuai jadi wang pendahuluan itu pengusaha masih pegang cuma jika ada yang batal atas sebab tidak dapat dielakkan akan dipulangkan. Itu atas budi bicara pengusaha,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Abdul Aziz, kebanyakan pengusaha kini malah kembali lega selepas mengharungi tempoh sukar semasa pandemik Covid-19 sejak awal 2020.
Kebanyakan pengusaha pelancongan sekarang juga sudah bersedia untuk kembali beroperasi sepenuhnya kerana sambutan menggalakkan dengan tempahan penuh sehingga sambutan Tahun Baru Cina.
“Memang cuti sekolah kita amat sibuk kerana tempahan penuh dan Tahun Baru Cina ini, kerana tempoh cuti yang panjang, kita dapat sambutan yang sangat menggalakkan sampai ada yang terpaksa tolak permintaan kerana tempahan penuh,” katanya.
Terengganu dilanda banjir teruk hujung minggu lepas sehingga 40,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Ini adalah banjir kali kedua di negeri itu pada tahun ini selepas yang pertama pada Mac, dan Hulu Terengganu antara kawasan paling terjejas teruk pada masa itu.
Setakat 11 pagi semalam, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, hanya dua sahaja pusat pemindahan sementara masih dibuka untuk menempatkan 177 orang daripada 44 keluarga.
Sementara itu, bagi pengusaha Sulong Mustafa, 51, pelanggan membatalkan tempahan adalah antara cabaran yang perlu mereka hadapi terutama pada musim tengkujuh.
“Saya rasa hampir 70 peratus pengusaha rumah bot berdepan dengan situasi pembatalan saat akhir atau ditunda kerana masalah banjir.
“Lagipun cuaca ini memang sukar dijangka jadi kita pun tak jangka keadaan banjir begitu teruk sekali tahun ini. Cuma kita bersyukur ia tidak menyebabkan kerosakan pada rumah bot,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan negeri dan persekutuan dapat memikirkan tabung khas bantuan bagi pengusaha pelancongan terutama ketika banjir teruk berlaku setiap tahun.
“Kita tahu kalau banjir bantuan yang paling diutamakan ialah kepada mangsa dan penduduk namun kita harap bantuan itu seimbang kepada penggiat pelancongan yang juga terkesan,” katanya.
Sementara itu pengusaha chalet di Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata mereka bernasib baik kerana tiada kerosakan serius yang berlaku biarpun cuaca buruk.
Mereka kini menunggu untuk beroperasi semula pada Mac, katanya.
“Kalau ikutkan musim tengkujuh pulau di Terengganu biasanya akan tutup dan mula operasi pada Mac. Tapi di Pulau Perhentian jika cuaca baik ada sahaja yang meneruskan operasi mereka.
“Ketika ini kita semua sudah bersedia menyambut kedatangan pelancong terutama pada tahun depan yang kita jangka sektor pelancongan akan bertambah rancak,” katanya.
Pada 2019, Terengganu menerima 5.9 juta pelancong domestik dan bilangan itu menurun kepada 2.7 juta sahaja pada 2020 kerana pandemik Covid-19. – 28 Disember, 2022.
Komen