-2.jpg)
SEBAGAI sebuah parti antara tertua dalam sistem demokrasi di Malaysia, atas semangat menjunjung amalan demokrasi yang dipelopori oleh Umno sendiri sejak pembinaan negara pasca Merdeka, wajar elemen demokrasi tetap diuruskan dengan baik oleh Umno.
Untuk itu wajar Umno mengadakan “pemilihan tanpa pengecualian” bagi menunjukkan betapa dukungan terhadap demokrasi tetap dipertahankan.
Pemilihan Umno penting bagi menunjukkan kepada umum bahawa Umno sebuah perjuangan yang kekal relevan dengan jiwa demokrasi atas dukungan agama, bangsa dan tanah air yang didukung oleh parti.
Pemimpin utama parti diyakini berjiwa besar dalam memastikan Umno kekal kuat dan berbudaya demokratik dengan membenarkan pemilihan parti dijalankan tanpa prejudis.
Ia diyakini sedemikian atas asas personaliti pemimpin utama Umno yang masih kekal relevan dalam suasana politik kini, khususnya pasca PRU15.
Tindakan melaksanakan pemilihan Umno adalah juga gambaran betapa Umno menjunjung institusi Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi dengan amalan demokrasi yang tulen dan jitu.
Amalan demokrasi profesional patut menjadi landasan Umno memperkukuhkan kedudukan parti itu sebagai ‘king maker’ dalam pembentukan blok kerajaan pasca PRU15 yang lalu.
Relevannya Umno dengan pembinaan diri sebagai parti “bernilai tinggi” pasca PRU15 dalam pembentukan kerajaan wajar menjadikan Umno lebih demokratik dan berjiwa hebat bagi memperkukuhkan kedudukan pemimpin utama parti yang tetap relevan di akar umbi.
Umno harus amalkan demokrasi profesional dan mesra pemilihan, supaya parti itu kekal mendapat mandat segar dari semua peringkat dalam mendepani cabaran masa depan dalam konteks geopolitik semasa yang memerlukan keterbukaan. – 27 Disember, 2022.
* Dr Md. Shukri Shuib, Penganalisis Dasar Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen